Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad beramah mesra bersama orang ramai ketika hadir ke Program Santunan Kasih Kerajaan Negeri Perak Bersama Penerima Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perak di Dewan Serbaguna Ayer Kuning, Tapah, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 18 MAC 2025.

TAPAH – Sebarang kelemahan pihak lawan akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang akan diadakan April depan.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagaimanapun pihaknya tidak mengambil pusing terhadap sebarang isu terkini yang dihadapi parti lawan.

Kata beliau, sebaliknya BN akan terus memperkemaskan jentera parti dalam memastikan gerak kerja parti tersusun dalam menghadapi PRK Ayer Kuning nanti.

“Sesiapa pun jadi ketua pembangkang (Dewan Undangan Negeri (DUN)) atau Pesuruhjaya PAS (Perak), ia tidak memberi kesan kepada kita.

“Ini kerana, saya beritahu apa yang paling penting ialah jentera BN mesti terus diperkemas dan melakukan gerak kerja (untuk memenangkan calon parti),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Santunan Kasih Kerajaan Negeri Perak Bersama Penerima Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Dewan Serbaguna Ayer Kuning, dekat sini, pada Selasa.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed.

Saarani terdahulu diminta mengulas berkenaan isu kepimpinan beberapa parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) di Negeri Perak akhir-akhir ini.

Pada 1 Mac media melaporkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria direhatkan daripada menjalankan tugas sebagai Pesuruhjaya PAS Perak.

Walaupun tiada sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara itu, namun berdasarkan kepada ucapan Ramadan di Facebook rasmi Razman, tiada jawatan ‘Pesuruhjaya PAS Perak’ dimuatkan dalam kandungan poster ucapan itu.

Dipercayai jawatan Pesuruhjaya PAS Perak kini dipangku Naib Presiden Pas merangkap Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad.

Sementara pada 10 Mac,Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dilaporkan telah melepaskan jawatan sebagai Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak.

Media melaporkan, Zainol Fadzi memberitahu, tindakan meletakkan jawatan itu dibuat pada November tahun lalu selepas beliau memenangi jawatan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU.

Terdahulu pada program, seramai 300 ketua isi rumah (KIR) dalam kalangan penerima bantuan kewangan JKM Daerah Batang Padang terutama dalam kawasan DUN Ayer Kuning menerima sumbangan bakul makanan masing-masing.

Saarani berkata, berdasarkan data penerima bantuan JKM pada Februari tahun ini, seramai 52,057 orang yang menerima manfaat daripada semua skim bantuan bulanan JKM sama ada skim bantuan persekutuan mahu pun negeri.

Ujar beliau, daripada jumlah tersebut seramai 3,010 atau 5.8 peratus adalah daripada daerah Batang Padang. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here