Seorang warga emas menampar seorang lelaki Cina kerana makan di bulan Ramadan di sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru, semalam.

ISKANDAR PUTERI – Polis akan merujuk kertas siasatan kes warga emas yang menampar lelaki bukan beragama Islam di sebuah kedai serbaneka di pusat beli-belah di bandar raya ini kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) selewat-lewatnya Jumaat ini.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, pihaknya sudah merakam percakapan suspek iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 65 tahun semalam bagi membantu siasatan kes terbabit.

“Mangsa warga tempatan berusia 21 tahun telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan manakala suspek serta beberapa saksi termasuk anaknya sudah dirakam percakapan.

“Doktor yang merawat mangsa juga akan dirakam percakapan. Kertas siasatan akan dirujuk TPR sebelum Jumaat ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini hari ini.

Sebelum itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahinder Singh dalam kenyataannya berkata, mangsa membuat laporan berhubung insiden itu pada pukul 9.08 malam kelmarin.

Beliau memberitahu, mangsa mendakwa ditampar dua kali pada pipi kanan oleh seorang lelaki tidak dikenali selepas suspek bertanya mengenai agamanya dan meminta MyKad miliknya.

Ujarnya, keengganan mangsa menyerahkan kad pengenalannya menyebabkan berlaku pertengkaran sebelum mangsa ditampar.

Insiden itu menjadi tular selepas video pertengkaran antara dua lelaki dimuat naik di laman X oleh pemilik akaun @bingbinge656, sejak kelmarin.

Mangsa menerusi ciapan di aplikasi X mendakwa warga emas itu bertanya sama ada beliau beragama Islam atau sebaliknya, sebelum meminta untuk melihat kad pengenalannya.

Dalam pada itu, Kumar meminta orang ramai berhenti mencetuskan spekulasi berhubung insiden berkenaan kerana boleh menggugat keamaan dan keharmonian.

“Insiden yang terjadi ini terpencil dan bukan kerap terjadi. Masyarakat berbilang kaum di Malaysia sangat mengutamakan toleransi.

“Oleh itu, jangan kita mengambil tindakan di tangan sendiri kerana ada pihak berkuasa yang bertanggungjawab. Orang awam boleh menyalurkan maklumat dan bukan buat tindakan sendiri,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here