KUALA NERANG – Abang parah manakala adik cedera akibat bermain mercun bola dalam kejadian di Kampung Baru di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintendan Abdull Razak Osman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pukul 1.32 pagi tadi daripada pegawai perubatan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.
Jelas beliau, kedua-dua mangsa berusia empat dan tujuh tahun itu dikejarkan ke zon merah HSB pada pukul 9.30 malam.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pukul 8.15 malam dan ibu kanak-kanak tersebut dikatakan tidak menyedari anak mereka yang bermain mercun di luar manakala ayah mereka tiada di rumah ketika kejadian.

“Hasil soal siasat awal ibu bapa mangsa mendakwa mercun bola itu diperoleh dari rakan sekampung dan wanita itu hanya menyedari kejadian selepas terdengar bunyi letupan di luar rumah sebelum mendapati dua anak mereka telah cedera.
“Kedua-dua mangsa melecur di bahagian badan namun kanak-kanak berusia tujuh tahun itu dilaporkan parah dan masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HSB,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Abdull Razak, siasatan berhubung kes ini masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
“Siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001,” katanya. – MalaysiaGazette