Antara lokasi kaki ponteng puasa yang diserbu penguat kuasa JAIM di Klebang, Melaka.

Oleh Dr Mohd Anuar Ramli & Muhammad Syahmi Mohd Sabri

BERPUASA di bulan Ramadan merupakan rukun Islam yang ketiga dan merupakan kewajipan bagi setiap Muslim yang cukup syarat wajibnya, tidak kira lelaki atau
perempuan. Bahkan mereka yang meninggalkan puasa dalam keadaan uzur sekalipun dikehendaki menggantinya atau membayar fidyah.

Ini menunjukkan bahawa berpuasa merupakan satu tuntutan bagi umat Islam. Ia juga berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 183, maknanya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”.

Oleh kerana itu, Allah SWT memberikan ancaman dan azab siksa yang dahsyat bagi mereka yang meninggalkan puasa secara sengaja tanpa sebarang keuzuran. Ini
berdasarkan hadis Nabi SAW, maknanya: ‘Ketika aku sedang tidur, datang kepadaku dua orang lelaki, lalu memegang lenganku dan membawaku ke sebuah gunung yang sukar didaki. Mereka berkata: “Naiklah”. Aku menjawab:”Sesungguhnya aku tidak mampu”. Mereka berkata: “Kami akan memudahkannya untukmu”. Lalu aku pun mendaki hingga apabila aku berada di tengah-tengah gunung itu, aku mendengar suara yang amat kuat. Aku bertanya:”Suara apakah ini?" Mereka menjawab: “Ini adalah raungan penghuni neraka”. Kemudian aku dibawa pergi, dan aku melihat satu kaum yang digantung dengan kaki mereka di atas, mulut mereka terkoyak, dan darah mengalir dari mulut mereka. Aku bertanya: “Siapakah mereka ini?" Dikatakan:”Mereka adalah orang-orang yang berbuka puasa sebelum tiba waktu berbuka”. (HR al-Nasa’i).

Berdasarkan hadis ini, jelas bahawa meninggalkan puasa secara sengaja merupakan dosa yang amat besar di sisi Islam dan disediakan azab yang pedih. Menurut al-Dhahabi dalam kitab al-Kaba’ir, orang yang tidak berpuasa tanpa sebarang alasan Syar’ie termasuk dalam dosa besar yang ke-10.

Namun begitu, pada hari ini terdapat segelintir umat Islam yang tidak berpuasa tanpa berasa salah dan berdosa. Wujudnya geng plastik hitam ini hanya pada siang bulan Ramadan sahaja ketika umat Islam yang lain konsisten menjalankan kewajipan berpuasa. Mereka tanpa segan silu akan pergi ke kedai makan dan akan membungkus makanan kemudiannya akan menikmati di tempat-tempat tersorok. Golongan ini tidak mengenal batas usia, sama ada tua, dewasa atau remaja, lelaki atau perempuan. Seringkali alasan uzur atau gastrik diberikan untuk menghalalkan tindakan mereka. Walaupun mereka cuba bersembunyi dari pengetahuan orang lain, hakikatnya apa yang dilakukan oleh mereka tetap diketahui oleh Allah SWT.

Asasnya, berpuasa di bulan Ramadan adalah wajib bagi seorang Muslim, mukallaf, orang berkemampuan, sihat tubuh badan dan bermukim. Tetapi syariat memberikan kelonggaran bagi mereka yang tidak mencukupi syarat diatas. Dalam isu berkaitan geng plastik hitam, terdapat beberapa situasi hukum.

Pertama, mereka yang meninggalkan puasa Ramadan dengan sengaja dalam keadaan mengingkari kewajipannya, maka hukumnya adalah kufur melainkan jika seseorang itu
baru memeluk Islam atau tinggal jauh daripada penempatan Islam dan ulama. Hal ini berpandukan hadis Nabi SAW, maknanya: “Sesungguhnya yang membezakan seorang
muslim dengan kesyirikan dan kekafiran itu ialah meninggalkan solat” (HR Muslim). Oleh kerana puasa merupakan satu kefardhuan seperti solat maka ulama menyamakan hukum kufur tersebut kepada sesiapa yang meninggalkan puasa dalam keadaan ingkar.

Kedua, mereka yang sengaja meninggalkan puasa kerana malas dan sebagainya tetapi bukan kerana mengingkari kewajipannya, maka hukumnya adalah berdosa besar dan menurut al-Syirbini dalam kitab Mughni al-Muhtaj, mereka perlu dihukum dengan penjara dan dihalang daripada makan dan minum supaya mereka melaksanakan ibadat
puasa. Hal ini difahami berdasarkan sabda Rasulullah SAW, maknanya: “Barangsiapa membatalkan puasa satu hari dari bulan Ramadan tanpa alasan dan juga bukan karena sakit, maka dia tidak dapat menggantinya dengan puasa dahr (terus-menerus) meskipun dia melakukannya” (HR Bukhari). Perkara ini juga berdasarkan hadis Nabi SAW, maknanya: “Aku diperintahkan untuk memerangi manusia hingga mereka bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad adalah Rasulullah, mengerjakan solat, menunaikan zakat. Jika mereka melakukan hal itu maka darah dan harta mereka akan dilindungi kecuali dengan hak Islam dan perhitungan mereka ada pada Allah SWT.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Ketiga, mereka yang uzur, maka tidaklah berdosa baginya meninggalkan puasa Ramadan. Antara uzur bagi meninggalkan puasa ialah perempuan yang mengalami haidh dan nifas, usia yang terlalu tua dan terlalu lapar dahaga. Kelonggaran ini berdasarkan firman Allah dalam surah al-Hajj ayat 78, maknanya: “Tidaklah diwajibkan kepada kalian akan suatu perkara yang sukar dalam agama” . Bahkan jika seseorang itu bimbang akan menyebabkan kerosakan pada dirinya disebabkan berpuasa maka wajib baginya untuk berbuka. Selari dengan itu juga, sakit merupakan satu keuzuran sekiranya puasa itu akan menyebabkan kesakitan yang bersangatan. Begitu juga jika seseorang itu dalam permusafiran. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 184, maknanya: “Maka barang siapa di antara kamu dalam keadaan sakit atau dalam musafir (maka dia boleh berbuka puasa) kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak itu pada hari yang lain”.

Ayat ini juga menunjukkan bahawa wajib bagi seseorang yang meninggalkan puasa untuk menggantinya pada hari yang lain sekiranya mampu untuk berpuasa. Sekiranya
tidak mampu seperti orang tua dan sakit berpanjangan yang tidak kembali sembuh, maka wajib bagi mereka untuk mengeluarkan fidyah. Perkara ini berdasarkan sabda
Rasulullah SAW, maknanya: “Barangsiapa yang menjejaki usia tua dan tidak mampu untuk berpuasa maka wajib keatasnya mengeluarkan satu mudd dari gandum bagi tiap-tiap hari” (HR al-Baihaqi).

Jelasnya, kelonggaran bagi berbuka puasa ini hanya melibatkan orang sakit yang tidak mampu berpuasa, orang yang bermusafir, perempuan yang sedang mengandung dan menyusukan anak serta orang tua yang tidak larat untuk berpuasa atau tiada harapan sembuh lagi. Justeru, golongan plastik hitam perlu sedar dan insaf tentang kewajipan puasa.

Mungkin mereka tidak terfikir, kaum keluarga akan terpaksa mengeluarkan fidyah selepas berlakunya kematian untuk membayar ganti hutang puasa sekiranya mereka tidak sempat dilunaskan. Apalah yang ada dengan kenikmatan yang hanya bersifat sementara jikalau dibandingkan dengan azab yang ditanggung kelak lebih menyakitkan dan pedih sekiranya terus meninggalkan puasa Ramadan tanpa alasan yang jelas.

Mohd Anuar Ramli (kiri) ialah Pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian
Islam Universiti Malaya, manakala Muhammad Syahmi Mohd Sabri (kanan) merupakan mahasiswa Universiti al-Azhar, Kaherah, Mesir.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here