Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (kiri) dan Selebriti, Bella Astilla (tengah) berjalan keluar dari perkarangan mahkamah selepas hadir bagi prosiding rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta berkaitan penyelewengan dana di Mahkamah Rayuan, Astana Kehakiman, Putrajaya. Foto HARI ANGGARA, 19 MAC 2025.

PUTRAJAYA – Pelakon, Bella Astillah mendoakan yang terbaik buat Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam rayuan terhadap sabitan dan hukuman kes dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Pelakon itu yang hadir memberikan sokongan moral kepada Syed Saddiq itu juga menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan keputusan terhadap ahli politik itu.

“Insya Allah, saya datang esok, saya hadir sebagai seorang sahabat.

“Doa yang terbaik sahaja. Tidak pasti jika ada keputusan, jadi kita tunggu esoklah ya,” ujar Bella ketika ditemui wakil media sejurus Mahkamah Rayuan menangguhkan sidangnya di sini hari ini.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (kanan) bersama-sama dengan Bella Astilla (dua kiri) berjalan keluar dari ruang Mahkamah selepas hadir bagi prosiding rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta berkaitan penyelewengan dana di Mahkamah Rayuan, Astana Kehakiman, Putrajaya. Foto HARI ANGGARA, 19 MAC 2025.

Kehadiran artis berkenaan yang manis berbaju kurung menjadi buruan lensa kamera ketika kelibatnya dilihat menghampiri pekarangan Istana Kehakiman di sini kira-kira pukul 8.40 pagi.

Bella turut dilihat berjalan beriringan dan memegang erat tangan salah seorang kakak Ahli Parlimen Muar itu sebelum prosiding didengar di hadapan panel tiga hakim.

Pelakon itu yang juga seorang pempengaruh media sosial malah mengikuti keseluruhan prosiding rayuan yang dijalankan di Mahkamah Rayuan 5 sehingga selesai.

Bella kemudian dilihat meninggalkan pekarangan mahkamah kira-kira pukul 3 petang sambil diiringi pengawal peribadi.

Turut hadir, ibu bapa Syed Saddiq, Syed Abdul Rahman Syed Abdullah dan ibu Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz serta kaum keluarga terdekat.

Keluarga dan juga rakan-rakan kepada Ahli Parlimen Muar berjalan keluar dari ruang Mahkamah selepas hadir bagi prosiding rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta berkaitan penyelewengan dana di Mahkamah Rayuan, Astana Kehakiman, Putrajaya. Foto HARI ANGGARA, 19 MAC 2025.

Sementara itu, Syed Saddiq menyatakan beliau terhutang budi dengan artis berkenaan kerana sudi meluangkan masa memberikan sokongan moral kepadanya.

“Dia wanita luar biasa. Terima kasih, saya terhutang budi,” ujarnya.

Mahkamah hari ini mendengar rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan hukuman penjara tujuh tahun dan didenda RM10 juta serta dua sebatan atas kesalahan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) berkaitan dana Armada.

Rayuan di hadapan panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin bersambung esok bagi mendengar hujahan balas pihak pendakwaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here