PONTIAN – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum terbabas sendiri di Kilometer 11.5 Jalan Pontian-Kukup di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, pihaknya mendapat maklumat berkaitan kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha daripada orang awam pada pukul 7.45 pagi.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa motosikal ditunggang mangsa iaitu lelaki tempatan berumur 31 tahun dalam perjalanan dari Jalan Kukup menghala ke arah bandar Pontian.
“Apabila sampai di tempat kejadian motosikal tersebut hilang kawalan dan terbabas sendiri di atas jalan,” katanya dalam satu kenyataan.
Akibat daripada kemalangan tersebut, penunggang motosikal mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan penjara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu sehingga lima tahun.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan mematuhi undang-undang serta peraturan-peraturan yang telah ditetapkan demi menjaga keselamatan bersama semasa di jalan raya,” ujarnya.
Sekiranya ada saksi berkaitan kejadian kemalangan itu, beliau meminta tampil di Pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian atau hubungi Inspektor Tong Siew Fen 010-2090396 untuk membantu siasatan. – MalaysiaGazette