Abdul Razak mengaku tidak salah di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang pemuda yang didakwa tidak berpuasa, Ahad lalu.

JOHOR BAHRU – Warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang pemuda yang didakwa tidak berpuasa, Ahad lalu.

Abdul Razak Ismail, 65, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pindaan dibacakan di hadapan Majistret A Shaarmini.

Mengikut pertuduhan, pesara kerajaan itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang pemuda di Lot L1 14 dan 15, Tingkat 1, sebuah pusat beli-belah di Tampoi, pukul 6.15 petang, pada 17 Mac lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiqah Musa dan Nur Fatihah Mohd Nizam mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguamnya, Mohd Salleh Togimin memohon jumlah itu dikurangkan kerana Abdul Razak perlu menanggung tiga anak, termasuk seorang yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi.

“Jaminan RM8,000 terlalu tinggi dan seolah-olah menjadi hukuman awal terhadap anak guam saya, sedangkan dia belum dibuktikan bersalah,” katanya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes dijadualkan pada 29 April depan bagi serahan dokumen.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan pagi tadi, mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Abdul Razak selepas Timbalan Pendakwa Raya memaklumkan kes berkenaan akan dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara (AGC) di Putrajaya.

Sebelum ini, tular dalam media sosial sebuah video memaparkan seorang pemuda ditegur seorang lelaki warga emas kerana didakwa makan secara terbuka pada bulan Ramadan di sebuah pusat beli-belah.

Keadaan menjadi tegang apabila warga emas itu meminta pemuda berkenaan menunjukkan kad pengenalan bagi membuktikan dia bukan beragama Islam.

Pemuda itu yang enggan berbuat demikian kemudian mendakwa dirinya dimarahi sebelum ditampar beberapa kali.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast