KUALA LUMPUR- Kabinet hari ini bersetuju dengan terma dan syarat perjanjian dengan syarikat Ocean Infinity (United Kingdom) untuk meneruskan operasi pencarian bangkai pesawat MH370.
Dengan kelulusan Jemaah Menteri hari ini, Kementerian Pengangkutan akan mewakili Kerajaan bagi menandatangani perjanjian pencarian dengan syarikat Ocean Infinity.
“Keputusan Jemaah Menteri ini membolehkan operasi pencarian dasar laut dimulakan bagi mengesan bangkai pesawat MH370 di satu lokasi baharu yang dianggarkan seluas 15,000 kilometer persegi di Selatan Lautan Hindi berdasarkan prinsip “no find, no fee”,” kata Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, mengikut prinsip ini, Kerajaan Malaysia tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kepada syarikat ini sekiranya tiada sebarang bangkai pesawat yang ditemui.
Fi sejumlah AS$70 juta (RM310.53 juta) hanya akan dibayar kepada Ocean Infinity sekiranya bangkai pesawat MH370 berjaya dijumpai.
“Kerajaan komited meneruskan operasi pencarian dan memberikan penutup (closure) bagi keluarga waris penumpang pesawat MH370,” katanya lagi. -MalaysiaGazette