Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Pahang menyediakan kemudahan empat kawasan hentian rawat dan rehat (R&R) sementara di Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) bagi pengguna menjelang Aidilfitri ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembinaan hentian rehat sementara itu akan disiapkan sekurang-kurangnya lima hari sebelum Syawal memandangkan lebuh raya itu menjadi antara laluan utama ke negeri Kelantan.

Pembinaan hentian itu dilakukan selepas menerima pelbagai aduan pengguna yang berdepan kesukaran mendapatkan tempat sesuai untuk berhenti rehat, menukar lampin bayi dan sebagainya di sepanjang LTU itu.

”R&R sementara akan dibina di Bentong melibatkan kedua-dua arah laluan, manakala masing-masing satu di Lipis dan Raub.

“Kita telah meminta sedikit peruntukan daripada Kerajaan Persekutuaan untuk mempercepatkan dan ia perlu dibuat dengan segera.

”Mungkin bajet lambat dapat, jadi kita akan gunakan peruntukan kerajaan negeri dan kita akan gantikan balik dengan peruntukan Kerajaan Persekutuan,” katanya pada sidang media Pengumuman Dividen Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) Tahun 2024 hari ini.

Wan Rosdy berkata, kesemua hentian tersebut akan digunakan sementara menunggu pembinaan R&R yang kekal.

”Daripada tiada langsung, biarlah ada. Sekurang-kurangnya dapat membantu menyelesaikan masalah.

”Yang kekal kita akan bina juga, kita sudah dalam proses dan akan laksanakan dalam masa terdekat,” tambahnya. –  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here