KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal persepsi kononnya Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) akan menyebabkan orang Melayu dan Bumiputera hilang tempat di bandar atau memberi keutamaan kepada pemaju.
Sebaliknya, kata Perdana Menteri, RUU PSB digubal untuk melindungi hak pemilik dengan memastikan pampasan yang adil dan jauh lebih tinggi berbanding sekarang.
Selain itu, jelas beliau, RUU PSB itu juga bertujuan melindungi hak dan mengangkat martabat rakyat terutama orang Melayu di bandar dan memastikan miskin bandar terutama orang Melayu hidup dengan lebih bermaruah berbanding dibiarkan hidup berhimpit selama puluhan tahun tanpa penyelesaian.
“RUU PSB ini adalah penyelesaian kepada pergelutan antara rakyat dan pemaju yang berlaku sejak sekian lama,” katanya seperti yang disampaikan oleh Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah dalam sidang akhbar harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.

Menurut Tunku Nashrul, penjelasan oleh Perdana Menteri itu berikutan wujud dakwaan sebelum ini kononnya pemilik asal kediaman terutama orang Melayu dan Bumiputera akan hilang hak mereka apabila RUU PSB dilaksanakan.
Selain itu, katanya, penjelasan Perdana Menteri itu juga bagi menjawab persoalan mengenai bagaimana pemilik asal mampu untuk memiliki semula rumah yang telah diperbaharui dengan harga yang mencecah ratusan ribu ringgit.
Menjelaskan lebih lanjut, Anwar berkata, antara prinsip utama RUU PSB ialah projek pembaharuan kediaman mesti dijalankan menerusi perundingan dengan pemilik untuk mendapatkan persetujuan menyertai projek.
Selepas persetujuan, jelas beliau, pemilik akan menerima semula hartanah berkenaan yang telah diperbaharui, pampasan, manfaat sara hidup serta beberapa manfaat lain semasa peringkat pembinaan dan selepas pembinaan diselesaikan.
“Perdana Menteri menegaskan bahawa pelaksanaan RUU PSB ini akan memastikan rumah yang telah diperbaharui diberikan kepada pemilik asal supaya mereka dapat kembali menghuni di atas tapak asal yang telah dibangunkan,” kata Tunku Nashrul.
Tambah Anwar, nilai pampasan hartanah yang akan diperolehi oleh pemilik pula ialah berdasarkan kepada nilai pasaran masa hadapan, sekali gus membantu mereka untuk memiliki semula rumah yang telah diperbaharui.
Jelasnya, ia berbeza berbanding situasi semasa yang mana pampasan yang diputuskan oleh perunding atau mahkamah adalah berdasarkan nilai semasa, menyebabkan pemilik tidak mampu memiliki rumah baharu yang harganya jauh lebih tinggi daripada pampasan.
“Selain pampasan yang jauh lebih tinggi berbanding kaedah semasa, RUU PSB juga akan memastikan pelbagai bentuk pampasan atau manfaat diberikan kepada pemilik, antaranya bayaran sewaan kediaman transit, bayaran ex-gratia renovasi hartanah sedia ada dan bayaran-bayaran lain bagi membantu sara hidup pemilik sepanjang tempoh pembinaan, sekali gus memastikan apa jua pembangunan semula menitikberatkan prinsip keadilan sosial yang menjadi asas kepada gagasan MADANI,” katanya. – MalaysiaGazette