JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencatat sejarah sebagai universiti pertama di Malaysia menerima pengiktirafan daripada Majlis Pendidikan Siswazah United Kingdom (UKCGE) bagi kecemerlangan dalam amalan penyeliaan penyelidikan.
UTM dalam kenyataan memaklumkan, pengiktirafan itu diberikan kepada enam ahli akademik UTM yang telah menunjukkan keunggulan dalam membimbing pelajar penyelidikan dan membentuk persekitaran akademik yang kondusif.
Universiti awam berkenaan memberitahu, enam ahli akademik UTM telah menerima pengiktirafan UKCGE atas kecemerlangan mereka dalam penyeliaan penyelidikan.
“Profesor Dr Nor Haniza Sarmin dari Fakulti Sains adalah seorang daripadanya yang membimbing 39 pelajar PhD, termasuk pemegang rekod PhD termuda Malaysia, Dr. Hazzirah Izzati Mat Hassim menamatkan pengajiannya pada usia 24 tahun.
“Profesor Madya Dr Zaleha Abdullah pula dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan dikenali dengan pendekatan kreatif dalam membimbing pelajar pascasiswazah, termasuk penggunaan TikTok sebagai platform pembelajaran.
“Profesor Ir Ts Dr Sharifah Rafidah Wan Alwi dari Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga merupakan pakar dalam penyelidikan kejuruteraan inovatif yang berimpak tinggi dalam bidang tenaga dan alam sekitar,” menurut kenyataan tersebut.
Selain itu turut menerima pengiktirafan tersebut Profesor Madya Dr Roswanira Abdul Wahab dari Fakulti Sains merupakan pakar dalam bidang kejuruteraan enzim dan bioteknologi, dengan penekanan kepada kecemerlangan akademik dan aplikasi penyelidikan dalam dunia sebenar.
Kenyataan itu juga menyenaraikan Profesor Dr Ida Idayu Muhamad dari Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga dikenali sebagai penyelia yang membentuk penyelidik masa depan dengan pendekatan penyeliaan komprehensif dan inovatif.
“Ini termasuk Profesor Ts Dr Mohd Hafiz Dzarfan Othman dari Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga merupakan pakar dalam teknologi membran dan pemprosesan bahan, dengan 33 pelajar PhD berjaya menamatkan pengajian di bawah bimbingannya,” jelas kenyataan itu lagi.
Pengiktirafan itu menurut UTM, mencerminkan dedikasi universiti berkenaan dalam menyediakan pendidikan dan penyelidikan bertaraf dunia.
Sebagai langkah ke hadapan, UTM bercadang untuk terus meluaskan program itu bagi memberi peluang kepada lebih ramai penyelia kedoktoran di universiti tersebut mendapatkan pengiktirafan antarabangsa.
Langkah itu kata UTM, dijangka meningkatkan kualiti penyeliaan dan mempercepat pembangunan penyelidikan inovatif yang memberi manfaat kepada industri dan masyarakat.
“Kejayaan ini adalah hasil daripada kerjasama strategik antara UTM dan University of Otago, New Zealand, yang bermula dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) pada Julai 2021,” katanya.
Sejak itu beberapa siri program webinar dan latihan penyeliaan dianjurkan sehingga September 2022 bagi memperkukuh hubungan akademik antara kedua-dua institusi.
“Salah satu hasil utama kerjasama ini ialah pelaksanaan Program Pengiktirafan Penyeliaan Penyelidikan yang mendapat sokongan penuh daripada Jawatankuasa Penyelidikan Siswazah University of Otago.
Program itu bertujuan meningkatkan tahap profesionalisme penyelia penyelidikan serta memberikan pengiktirafan antarabangsa terhadap amalan mereka.
“Program ini menjadi penanda aras bagi penyeliaan berkualiti tinggi dan membuka peluang kepada ahli akademik untuk meningkatkan profil mereka, memudahkan mobiliti antara institusi serta meningkatkan kebolehpercayaan dalam mendapatkan dana penyelidikan,” tambahnya.- MalaysiaGazette