SHAH ALAM – Mahkamah Majistret mengekalkan hak penjagaan sementara adik kepada kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin, diberikan kepada nenek saudaranya, selama dua bulan lagi, berkuatkuasa hari ini.
Majistret Ameera Mastura Khamis membuat keputusan itu semasa prosiding yang dihadiri Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor dan peguam Lavanesh Haresh yang mewakili keluarga Zayn Rayyan.
Lavanesh ketika ditemui berkata, hak jagaan itu masih diberikan kepada ibu saudara Zaim Ikhwan Zahari, 29, yang menjaga kanak-kanak terbabit sehingga 16 Mei ini.
Zaim merupakan bapa kepada Zayn Rayyan.
Sementara itu, JKM yang diwakili peguam Nur Ezzah dan Nurul Aida Mat Ripin ketika ditemui memberitahu, agensi kerajaan itu mengesyorkan 20 syarat berbanding 19 syarat yang ditetapkan sebelum ini.
Antara syarat tersebut termasuk memendekkan hak lawatan ibu dan bapa kanak-kanak itu dari 48 jam kepada 24 setiap minggu dengan disertai pengawasan penjaga.
Katanya, mahkamah turut membenarkan Zaim Ikhwan dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf, 29, membuat panggilan video pada bila-bila masa.
Selain itu, bantuan kepada kanak-kanak itu juga dinaikkan dari RM150 kepada RM300 setiap bulan dan ia diserahkan kepada penjaga sementara.
Peguam Nur Ezzah juga berkata, JKM akan membuat penilaian ke atas datuk dan nenek kepada adik Zayn Rayyan itu sepanjang tempoh dua bulan tersebut sebelum mahkamah memutuskan hak penjagaan.
Mahkamah menetapkan 16 Mei ini sebagai tarikh sebutan dan pengurusan kes tersebut.
Sebelum ini, media melaporkan, JKM memperoleh perintah jagaan sementara selama dua bulan terhadap kanak-kanak itu yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Shah Alam di bawah Seksyen 25 (2) Akta Kanak-Kanak 2001.
JKM kemudian mengemukakan permohonan perintah jagaan terhadap adik kepada kanak-kanak malang berkenaan berikutan ibu dan bapa mereka didakwa di mahkamah sesyen pada 13 Jun atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik terbabit.
Pada 6 Dis tahun lalu, mayat Zayn Rayyan ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.
Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri. – MalaysiaGazette