PUTRAJAYA – Para peniaga bazar Ramadan kini tidak perlu lagi menerima bayaran secara tunai daripada pelanggan ketika jual beli selaras dengan aspirasi konsep bazar digital.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, konsep bazar digital itu dilaksanakan dengan kolaborasi Maybank.
“Jadi, ini lebih baik, lebih mesra sebab kuranglah transaksi kewangan secara tunai. Dengan menggunakan sistem itu, pengguna dapat rebat dan sebagainya.
“Tapi, apa pun yang lebih utama, saya kira yang menarik kali ini ialah semua sistem bayaran adalah menggunakan sistem cashless (tanpa tunai),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kod QR dan Bayar Cashless di Bazar Ramadan Presint 14, di sini, hari ini.
Maybank e-Wallet (MAE) bersama-sama Maybank Islamic dan Paynet menaja kanopi, apron dan topi kepada semua peniaga bazar Ramadan.
MAE turut memberi promosi ‘cashback’ RM2 kepada pembeli yang membuat transaksi menggunakan kod QR MAE di mana mana peniaga di bazar Presint 14 dan 11, Bazar Ramadan Taman Melawati, Tasik Tambahan, AU2 dan Belatuk. – MalaysiaGazette