Tertuduh, Yeow Chin Chai, 43, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu pembekalan berjumlah RM24,000, dua tahun lalu.

MELAKA – Bekas Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Melaka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu pembekalan berjumlah RM24,000 dua tahun lalu.

Tertuduh, Yeow Chin Chai, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan dengan niat untuk memperdayakan prinsipalnya suatu dokumen iaitu invois atas nama sebuah syarikat enterprise bertarikh 18 September 2023.

Dokumen itu adalah berkenaan pembekalan khemah utama (Marquee Tent & Platform) berjumlah RM24,000 bagi Program Mount Ophir Ultra Trail Melaka Tahun 2023.

Bagaimanapun, tiada sebarang pembekalan khemah utama dilakukan oleh Pejabat MOTAC Melaka pada program itu dan kesalahan didakwa dilakukan di pejabat MOTAC antara 18 September hingga 10 Oktober 2023.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butiran palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai lebih tinggi mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (2) akta sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Sharina Farhana Nor Sa’ari dan Fatin Nur Athirah Zainudin menawarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM Melaka sebulan sekali dan pasport diserah kepada mahkamah.

Peguam Mohd Fadly Hashim bagaimanapun memohon jaminan yang munasabah kerana tertuduh yang bekerja di bahagian dasar Gred 48 perlu menanggung empat anak yang masih kecil serta ibu bapa yang menghidap penyakit darah tinggi, kolestrol dan jantung.

Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat dipohon pihak pendakwaan.

Kes akan disebut semula 22 April ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here