KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, pemberhentian mendadak pengimportan sisa plastik boleh menjejaskan pengeluaran produk plastik dalam negara serta rantaian bekalan sektor berkaitan.
Namun, MITI berkata, dengan mengurangkan kebergantungan terhadap feedstock sisa plastik import, premis dan kilang kitar semula akan beralih kepada penggunaan sumber sisa plastik tempatan sepenuhnya, sekali gus meningkatkan kadar kitar semula dalam negara.
Sehubungan itu, bagi mengimbangi keperluan menarik pelaburan berkualiti dan mempromosikan inisiatif ekonomi kitaran dalam negara, MITI berpandangan adalah wajar supaya aktiviti pengimportan sisa plastik diteruskan bagi menampung keperluan dan permintaan industri pembuatan plastik dalam negara.
“Namun, kebergantungan kepada sisa import wajar dikurangkan secara berfasa selaras dengan Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis yang dikeluarkan di laman rasmi Parlimen.
Kementerian itu berkata demikian sebagai menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew tentang langkah-langkah mencegah pengimportan sampah plastik dan bahan buangan berbahaya.
Sementara itu, MITI berkata, pihak industri perlu bersedia menyokong model perindustrian yang bersifat restoratif atau regeneratif dengan reka bentuk menggunakan ‘close loop material flow’ (bahan yang boleh dikitar semula) dalam sistem ekonomi.
“Pendekatan ini bertujuan menggalakkan reka bentuk dan penggunaan produk dengan keperluan bahan mentah primer yang minimum, meningkatkan ciri-ciri kebolehkitaran semula dan penggunaan semula, meningkatkan pengeluaran dan ketersedian sumber bahan mentah sekunder,” katanya. – BERNAMA