Anggota Pertahanan Awam (APM) membantu mangsa banjir di Johor  Bahru berpindah ke PPS malam tadi.

JOHOR BAHRU – Keadaan banjir di negeri ini bertambah buruk apabila seramai 893 penduduk daripada  257 keluarga ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, tiga daerah iaitu Johor Bahru, Kulai dan Pontian dilanda banjir ketika ini.

“Johor Bahru setakat ini yang teruk terjejas dengan 567 mangsa daripada 165 keluarga dipindahkan ke PPS, diikuti Kulai dengan merekodkan 269 mangsa daripada 76 keluarga.

“Pontian pula mencatatkan jumlah 57 mangsa daripada 16 keluarga yang juga penduduk Kampung Paya Embun, Kampung Pak Karib, Kampung Melayu Raya, Kampung Seri Meranti dan Kampung Parit Sikom yang kini dipindahkan ke PPS,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) masih tidak mengeluarkan sebarang amaran ribut petir bagi negeri ini, namun masih dengan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk di enam daerah di negeri ini.

Amaran hujan lebat berterusan itu membabitkan daerah Johor Bahru, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai dan Kota Tinggi yang dijangka berlaku sehingga esok.

Amaran hujan berterusan tahap waspada pula dikeluarkan membabitkan daerah Tangkak, Segamat, Muar dan Batu Pajat, juga dijangka sehingga esok.

Pada masa sama, Sungai Sayong yang juga sub lembangan Sungai Johor di Kulai merekodkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu 20.85 meter

Dua sub lembangan Sungai Skudai di Johor Bahru turut merekodkan bacaan melepasi paras bahaya masing-masing 1.01 meter dan 4.24 meter.

Setakat pukul 8 pagi ini, semua daerah di Johor dilaporkan hujan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here