MELAKA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), bersetuju memilih Melaka sebagai lokasi Sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata, keputusan itu juga telah dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, majlis pelancaran TMM2026 akan diadakan sempena Sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD 2025) dan Persidangan Forum Pelancongan Sedunia (WTC 2025), yang dijadualkan berlangsung pada September 2026.
“Kita sudah setuju dan lulus malah Perdana Menteri pun dah setuju pilih Melaka lokasi pelancaran (TMM2026) ketika WTD.
“Paling mustahak saya mohon media beri kerjasama kembangkan ekonomi negara untuk rakyat dan jangan lagi buat isu politik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Libat Urus bersama Penggiat Industri Pelancongan Melaka 2025 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Majlis dirasmikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Terdahulu, King Sing dalam ucapannya meminta semua pihak, terutamanya penggiat industri pelancongan, mengeratkan kerjasama dalam usaha mempromosikan TMM2026. – MalaysiaGazette