KUALA LUMPUR – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dinasihati jangan bermimpi untuk menjadi ‘kerajaan menanti’ dan Perdana Menteri semula.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Puad Zarkashi menasihati Muhyiddin supaya menyelesaikan dahulu kes-kes mahkamahnya.
“Muhyiddin mendakwa dia ada solusi untuk menyelesaikan isu rakyat. Dia mendabik dada kononnya kerajaan 17 bulannya dulu Berjaya termasuk mengharungi pandemik Covid-19.
“Hakikatnya dia (Muhyiddin) Perdana Menteri ke 8 yang gagal. PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) separa masak telah menggandakan jumlah kematian dari 2,800 kepada 5,768 dalam tempoh 38 hari total lockdown diumumkan.
“Indeks Pengendalian Covid-19 yang dikeluarkan Bloomberg meletakkan negara di tempat ketiga paling corot antara 53 negara ekonomi utama.
“Muhyiddin bangga pada moratorium pinjaman dan pengeluaran khas KWSP. Sedangkan itu idea Najib dan jadi syarat sokongan BN kepadanya. Pas menyindir syarat itu umpama syarat Puteri Gunung Ledang. Tetapi skim i-Citra yang dilaksanakan jadi i-Marah di kalangan rakyat,” katanya di media sosialnya.
Kemuncak kegagalan Muhiddin, dakwanya ialah wujud Gerakan Bendera Putih di merata tempat.
“Apakah Muhyiddin ada masalah short memory?” soal Puad. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
PN sedia jadi kerajaan alternatif pada bila-bila masa – Muhyiddin