Pelabuhan Tanjung Pelepas

KUALA LUMUR – Prestasi perdagangan Malaysia mengekalkan momentum positif pada bulan Februari 2025, mencatatkan pertumbuhan 5.9% tahun ke tahun kepada RM223.89 bilion.

Eksport meningkat 6.2% kepada RM118.26 bilion manakala import naik 5.5% kepada RM105.64 bilion, pertumbuhan tahun ke tahun yang ke-14 bulan berturut-turut bagi perdagangan dan bulan ke-5 berturut-turut bagi eksport.

Sementara itu, lebihan dagangan meningkat kepada RM12.62 bilion, merupakan lebihan yang ke-58 bulan berturut-turut direkodkan sejak Mei 2020. Perdagangan, eksport dan import juga mencatatkan nilai tertinggi dalam sejarah untuk bulan Februari.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, kenaikan eksport telah didorong terutamanya oleh peningkatan permintaan bagi barangan perkilangan (85.7% daripada jumlah eksport) yang naik sebanyak 8.8% kepada RM101.3 bilion.

Kenaikan ini disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E), yang meningkat melebihi RM7 bilion.

Keluaran pertanian, khasnya minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, turut menyumbang kepada kenaikan eksport.

Dari segi pasaran, eksport ke rakan dagang utama iaitu ASEAN, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Taiwan mencatatkan pertumbuhan, disumbangkan terutamanya oleh peningkatan permintaan bagi barangan E&E, khususnya peranti semikonduktor dan litar bersepadu elektronik
(ICs).

Kenaikan ini selaras dengan unjuran 11.2% pertumbuhan jualan semikonduktor global tahun 2025 yang dikeluarkan oleh World Semiconductor Trade Statistics (WSTS).

Eksport ke pasaran Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) turut meningkat tahun ke tahun, termasuklah Mexico dan Kanada, yang dipacu oleh permintaan berterusan terhadap barangan E&E dari negara-negara ini.

Menurutnya, pada dua bulan pertama tahun 2025, prestasi perdagangan negara terus mencatatkan trajektori pertumbuhan, naik 4.4% kepada RM465.86 bilion berbanding tempoh yangsama tahun 2024.

Eksport bertambah 3.1% kepada RM241.07 bilion manakala import menokok 5.9% kepada RM224.79 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak
RM16.28 bilion. Perdagangan, eksport dan import juga mencatatkan nilai tertinggi yang pernah direkodkan bagi tempoh ini.

Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengunjurkan pertumbuhan volum perdagangan dunia sebanyak 3.0% pada tahun 2025, manakala Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menganggarkan peningkatan sebanyak 3.2%.

Walau bagaimanapun, kadar pertumbuhan ini berkemungkinan akan dipengaruhi oleh perkembangan geopolitik semasa dan untuk mengekalkan pertumbuhan dalam perdagangan antarabangsa, MITI dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) komited memperluaskan eksport ke pasaran sedia ada dan baharu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here