Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain (tengah) menyaksikan sesi penyerahan tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) antara Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf (kiri) kepada pemangku pengarah JSJK yang baharu Datuk Rohaimi Md Isa pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah JSJK di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Rohaimi Md Isa dilantik memangku jawatan Pengarah JSJK Bukit Aman berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf yang akan bersara wajib hari ini selepas hampir 38 tahun berkhidmat dalam pasukan berkenaan.

Majlis serah terima jawatan yang berlangsung di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur disaksikan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Razarudin dalam ucapannya berkata Ramli telah berjaya memperkasakan siasatan dan meningkatkan kredibiliti jabatan berkenaan sepanjang beliau memegang jawatan sebagai pengarah.

Beliau berkata ia jelas dapat dilihat melalui jumlah serbuan dan tangkapan melibatkan jenayah komersial yang meningkat sepanjang tahun dengan 24,388 serbuan pada 2024, meningkat 6,167 serbuan berbanding 2023.

“Jumlah tangkapan turut mencatat peningkatan ketara pada 2024 dengan 25,829 tangkapan direkodkan, berbanding 22,911 tangkapan pada 2023 dan hanya 20,804 tangkapan pada 2022,” katanya.

Razarudin berkata Ramli turut berjaya membuka dimensi baharu dalam penguatkuasaan undang-undang jenayah komersil apabila Rang UndangUndang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2024 diluluskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Ia merupakan kemuncak kejayaan buat JSJK dalam usaha memperkasakan siasatan bersabit sindiket penipuan dalam talian khususnya melibatkan penggunaan akaun keldai yang semakin berleluasa,” katanya.

Sementara itu, Ramli dalam ucapannya berharap anggota dan pegawai di JSJK sentiasa melengkapkan ilmu dengan kemahiran baharu bagi menghadapi jenayah komersial yang semakin canggih.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here