KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) perlu segera menyusun strategi untuk diketengahkan sebagai calon bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Exco AMK Malaysia Arshad Hassni berkata, pemilihan AMK kali ini bukan sekadar memilih kepimpinan tetapi memastikan jentera anak muda bersedia sepenuhnya untuk menghadapi PRU-16 kelak.

“Dengan tempoh persiapan yang ideal sekitar dua tahun, AMK perlu merangkul kekuatan dan mencungkil bakat kepimpinan baharu.

“Undi anak muda dijangka menjadi faktor penentu, menjadikan usaha mendekati mereka sebagai keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, AMK harus bergerak pantas dalam menangani persepsi negatif terhadap kerajaan dan mempergiat penerangan mengenai dasar serta inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Pendekatan digital, aktiviti turun padang dan pengukuhan jaringan akar umbi perlu diperkasakan bagi memastikan AMK kekal relevan dan bersedia membawa suara anak muda ke pentas nasional.

Terdahulu, Pemilihan PKR 2025 mencatat penyertaan melebihi 17,500 pencalonan diterima daripada 222 cabang seluruh negara.

Jawatankuasa Pemilihan PKR dalam satu kenyataan memaklumkan pengumuman senarai muktamad calon peringkat Cabang, AMK Cabang dan Wanita Cabang akan dilakukan pada 28 Mac ini selepas proses penamaan calon ditutup pada 16 Mac lalu.

Pemilihan pimpinan pusat PKR dijangka berlangsung pada 24 Mei, bermula dengan pemilihan peringkat bahagian dari 11 hingga 20 April depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here