PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggunakan alasan political mileage untuk melaksanakan niat jahat ketika mengarahkan pengeluaran wang RM1 juta daripada akaun Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin
Wan Ladin berhujah, niat jahat itu dibuktikan dengan cara menggunakan Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali untuk mengeluarkan wang berkenaan pada 6 Mac 2020.

Hujah beliau, Ahli Parlimen Muar itu sebenarnya mengetahui beliau bertindak secara salah namun berselindung di sebalik political mileage atas alasan khuatir akan berlakunya pergolakan dalaman parti berikutan Langkah Sheraton.
Ketika perbicaraan, mahkamah diberitahu Langkah Sheraton pada hujung Febuari 2020 merupakan pergolakan politik dalam sejarah Malaysia hingga menyebabkan jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Wan Shaharuddin turut berhujah, Syed Saddiq (perayu) memberi alasan, wang dalam akaun Armada adalah hasil titik peluh beliau dan mengarahkan ia dikeluarkan untuk political mileage kerana khuatir berlaku pertukaran pucuk pimpinan dalam Bersatu dan Armada.
Hujah beliau, Rafiq Hakim yang juga saksi pendakwaan ke-13 (SP13) dan ahli kumpulan WhatsApp Value Add sebenarnya menjadi alat kepada perayu untuk membersihkan imejnya sehingga sanggup mengheret ibu bapanya yang tidak bersalah.
“Perayu tidak boleh menggunakan alasan hasil `titik peluh’ dan pergolakan politik sebagai alasan untuk mengarahkan wang dikeluarkan kerana apa-apa wang yang dimasukkan ke dalam akaun Armada adalah milik Armada,” hujah beliau.
“Ini kerana dua saksi pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa wang dalam akaun Armada bukan sahaja boleh digunakan untuk kempen melibatkan perayu bagi mengekalkan kedudukannya sebagai Ketua Armada malah untuk kegunaan ahli lain,” ujar beliau.

Mahkamah sedang mendengar rayuan Syed Saddiq, 32, untuk mengetepikan hukuman penjara tujuh tahun, sebatan dua kali dan denda RM10 juta atas kesalahan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) berkaitan dana Armada.
Hujah Wan Shaharuddin, niat jahat perayu boleh dilihat melalui tindak-tanduknya bermula daripada episod pertama (sebelum pengeluaran) hingga episod terakhirnya iaitu selepas 28 Mei 2020, walhal perayu tidak memegang apa-apa jawatan dalam Bersatu atau Armada.
Hujah beliau, tindakan perayu yang meminta satu back dated receipt dan quotation dibuat adalah bukti untuk menutup jejak kesalahannya daripada dikesan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Wan Shaharudin selanjutnya berhujah, keterangan SP13 menyatakan sebelum wang RM1 juta dikeluarkan, beliau tidak menerima apa-apa arahan daripada perayu untuk membantu mangsa banjir atau menggunakannya untuk program Armada.
Hujah beliau, selepas pengeluaran, perayu sebaliknya mengarahkan SP13 menyimpan wang RM1 juta itu di tempat selamat.
Kata Wan Shaharuddin, keterangan kononnya sebahagian wang itu diagihkan untuk kegunaan program Armada seperti bantuan Covid-19 hanya dilakukan selepas pihak SPRM menyiasat kediamannya.
Pendakwaan turut menghujahkan, perayu mengarahkan SP13 melupuskan wang yang disimpan itu kerana khuatir ia akan disita oleh pihak SPRM.
“Sebagai pemegang amanah kepada akaun Armada dan pemimpin yang selalu menggambarkan dirinya bersih kepada masyarakat, kami berhujah perayu tidak patut menggunakan alasan mengarahkan SP13 mengeluarkan wang,” hujah beliau.
Pihak pendakwaan turut menghujahkan, perayu seolah-olah menjadikan wang di dalam akaun Armada miliknya sendiri untuk digunakan sewenang-wenangnya tanpa membuat sebarang kertas kerja.
Rayuan di hadapan panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin bersambung 17 April ini.
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.
Pertuduhan kedua, tertuduh disabitkan menyalahguna harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.
Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.
Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018. – MalaysiaGazette