TEMERLOH – Seorang suami dihukum penjara enam bulan di Mahkamah Majistret Temerloh hari ini selepas mengaku bersalah menampar isterinya sebanyak dua kali.
Tertuduh, Shahrul Irzuan Alwi, 37, dijatuhkan hukuman penjara ketika membuat pengakuan berkenaan semasa prosiding di hadapan Majistret Tan Chiew King.
Hakim memutuskan Shahrul Irzuan menjalani hukuman pemenjaraan bermula tarikh tertuduh ditahan sejak 18 Februari lalu.
Dalam kertas pertuduhan, Shahrul didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas isteri dengan menampar pipi sebelah kanan di Felda Jenderak Utara Kuala Krau di sini dalam kejadian 8 Januari lalu pada pukul 8.30 malam.
Shahrul Irzuan telah dituduh melakukan satu kesalahan yang dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
Jika disabit kesalahan tertuduh boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai setahun, atau dengan denda yang boleh sampai RM2,000 atau dengan kedua-duanya.
Bagi Seksyen 326A Kanun Keseksaan, pesalah hendaklah dihukum dengan pemenjaraan bagi suatu tempoh dua kali ganda tempoh maksimum.
Terdahulu isteri tertuduh membuat laporan polis susulan suaminya berang lalu menampar isterinya apabila mengetahui isteri memfailkan kes cerai di Mahkamah Syariah.
Mangsa yang usia sebaya dengan suami mendakwa lelaki berkenaan seorang panas baran dan sering bergaduh dalam tempoh perkahwinan. – MalaysiaGazette