Dzulkefly Ahmad

JOHOR BAHRU – Tindakan seorang warga emas menampar seorang pemuda bukan Islam ‘tidak berpuasa’di sebuah pusat beli-belah di bandar raya ini Ahad lalu merupakan satu tindakan ekstrem yang mencemarkan nama baik Islam.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Johor, Sr Dzulkefly Ahmad berkata, perkara berkenaan seperti sudah menjadi-jadi ketika ini dan perlu dibendung.

“Amanah Johor melihat segala perbuatan ekstrem ini berpunca daripada adu domba sesetengah pihak yang sentiasa meniupkan api perbalahan demi kepentingan peribadi.

“Ini dilakukan sesetengah golongan ahli politik yang hanya memikirkan untung untuk parti mereka sahaja bukan memandang kesan dihadapi rakyat dalam negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dzulkefly berkata, bagi memastikan perkara itu tidak berulang, Amanah Johor berpandangan kerajaan wajar memperketatkan lagi undang-undang berkenaan adu domba perkauman dalam negara ini serta mengambil serius hal tersebut.

Ujarnya, keharmonian dalam negara adalah asas tunjang utuh dan perlu dipertahankan demi kesejahteraan semua pihak dalam negara ini.

“Amanah Johor juga lebih menekankan nilai akhlak murni serta berhemah dalam menegur serta membawa syiar Islam seperti mana yang diajarkan Rasullullah SAW bukanlah dengan membuat tindakan secara emosi sehingga mencacatkan agama suci Islam.

“Amanah Johor melahirkan kebimbangan dengan budaya ekstrem yang ditonjolkan umat Islam dalam negara ini dengan tindakan luar daripada akhlak Islam yang diajarkan dalam agama,” katanya.

Sebelum ini, tular dalam media sosial sebuah video memaparkan seorang pemuda ditegur seorang lelaki warga emas kerana didakwa makan secara terbuka pada bulan Ramadan di sebuah pusat beli-belah di sini.

Keadaan menjadi tegang apabila warga emas itu meminta pemuda berkenaan menunjukkan kad pengenalan bagi membuktikan dia bukan beragama Islam.

Pemuda Cina itu bagaimanapun enggan berbuat demikian kemudian mendakwa dirinya dimarahi sebelum ditampar beberapa kali.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here