KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia di Sudan Selatan boleh memepertimbangkan untuk berpindah ke kawasan yang lebih selamat atau kembali ke Malaysia secara sukarela sekiranya merasakan keselamatan mereka di negara tersebut terancam.
Kementerian Luar menasihatkan mereka supaya berwaspada serta memberi keutamaan kepada keselamatan diri memandangkan situasi di Sudan Selatan yang semakin meruncing dan sebagai langkah berjaga-jaga.
“Kementerian (Luar) juga menasihatkan supaya semua perjalanan ke Sudan Selatan ditangguhkan buat masa ini kerana situasi yang tidak menentu di negara tersebut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Kini terdapat 55 warga Malaysia di Sudan Selatan selain 18 pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang berkhidmat dalam misi Kepolisian Pertubuhan bangsa-Bangsa Bersatu (UNPOL) dan kesemua mereka dilaporkan selamat.
Menurut Wisma Putra, pihaknya juga terus berkomunikasi dengan UNPOL bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pegawai PDRM yang sedang bertugas di negara tersebut.
Katanya, semua penugasan dan penempatan anggota UNPOL di Sudan Selatan akan terus diselaraskan oleh UNPOL.
Sementara itu Kementerian Luar menasihatkan semua pejalanan ke Sudan Selatan ditangguhkan buat masa ini kerana situasi yang tidak menentu di negara tersebut.
Selain itu, semua warga Malaysia di Sudan Selatan diminta mendaftar keberadaan mereka dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi, Kenya bagi memastikan mereka menerima maklumat terkini dan bantuan sewajarnya.
Warga Malaysia juga dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasan
Sekiranya terdapat antara warga Malaysia yang memerlukan bantuan Konsular, mereka boleh menghubungi Suruhanjaya Tunggi Malaysia di Nairobi di alamat 611, Runda Grove, P.O Box 42286-00100, Nairobi atau menghubungi +254-111-052710 (pejabat) atau +254-741603952 / +254-704770367 (mobile) atau e-mel: mwnairobi@kln.gov.my – MalaysiaGazette