JOHOR BAHRU – Bilangan mangsa banjir di Johor tidak menunjukkan penurunan apabila 11,776 penduduk daripada 3,544 keluarga masih ditempatkan di 97 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 4 petang ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah berkenaan meningkat berbanding 10,629 mangsa membabitkan 3,169 keluarga pada pukul 12 tengah hari tadi.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor itu memberitahu, walaupun mangsa banjir di lima daerah terbabit meningkat, terdapat dua PPS sudah ditutup.
“Johor Bahru kembali menunjukkan peningkatan mangsa banjir iaitu daripada 3,664 orang (1,139 keluarga) tengah hari tadi kepada 4,384 orang (1,407 keluarga). PPS di Johor Bahru yang masih aktif kekal sebanyak 27 buah sehingga petang ini.
“Kluang pula kedua terjejas dan jumlah mangsa banjir bertambah kepada 2,669 orang (774 keluarga) berbanding 2,361 orang (702 keluarga) tengah hari tadi. Mereka kini ditempatkan di 27 PPS di daerah itu,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Azmi berkata, Pontian dan Kulai juga terus mencatatkan jumlah mangsa banjir yang meningkat yang mana Pontian meningkat kepada 1,791 orang (491 keluarga) di 20 PPS, berbanding 1,668 mangsa (462 keluarga) tengah hari tadi.
“Di Kulai juga mangsa banjir meningkat daripada 1,157 orang (356 keluarga) tengah hari tadi kepada 1,261 orang (387 keluarga) yang masih di lapan PPS,” katanya.
Menurut Azmi, hanya Kota Tinggi yang menunjukkan sedikit penurunan daripada 1,779 mangsa (510 keluarga) pada tengah hari tadi, kepada 1,671 orang (485 keluarga) selepas dua PPS ditutup menjadikan kini hanya 15 PPS aktif di daerah itu.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) tidak mengeluarkan sebarang amaran ribut petir mahu pun amaran hujan bagi negeri ini.
Pada masa sama, Sungai Batu Pahat, Sungai Endau, Sungai Johor, Sungai Pulai dan Sungai Jemaluang merekodkan bacaan air sungai melepasi paras bahaya.
Setakat pukul 4 petang ini, hanya Johor Bahru, Pontian dan Kluang dilaporkan cerah, manakala tujuh daerah yang lain dilaporkan mendung.- MalaysiaGazette