Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming melakukan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Ops Siaga Raya 2025 di IoI City Mall, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 21 MAC 2025

KUALA LUMPUR – Tujuh puluh peratus pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bertugas sepanjang persiapan Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada hujung bulan ini.

Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata langkah itu diambil bagi memastikan tahap kesiapsiagaan pasukan bomba berada di tahap optimal bagi menghadapi sebarang kecemasan, terutamanya kebakaran dan kemalangan jalan raya.  

“Kira-kira 11,500 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dibekukan cuti sebagai persiapan.

“15,000 anggota bomba sudah bersiap sedia. 70 peratus akan bertugas seperti biasa manakala hanya 30 peratus sahaja dibenarkan cuti bergilir.

“Kita akan terus kerjasama dengan pihak polis supaya agensi kerajaan menjadi pembela keselamatan rakyat,” katanya ketika sidang media Majlis Pelancaran Ops Siaga Raya 2025 sempena Hari Raya Aidilfitri JBPM di Putrajaya.

Dalam pada itu, Kor Ming turut menyeru rakyat Malaysia agar membuat perancangan perjalanan dengan baik sebelum pulang ke kampung halaman bagi mengelakkan kesesakan luar biasa, terutama di Pantai Timur, di mana lebih 2.2 juta kenderaan dijangka memasuki negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang.  

“Keselamatan adalah tanggungjawab bersama. Saya berharap semua pengguna jalan raya bersabar, merancang perjalanan dengan baik dan mengutamakan keselamatan supaya kita dapat menyambut Aidilfitri dengan gembira bersama keluarga tersayang,” katanya.

Tambah beliau, JBPM akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tahun ini dengan menempatkan pasukan di 12 lokasi strategik di hampir semua negeri.

Ops Siaga Raya 2025 dijadualkan bermula pada 29 Mac dan akan berakhir pada 3 April.

Untuk rekod, Ops Siaga Raya 2024 mencatatkan sebanyak 1,303 panggilan kecemasan berbanding 1,068 kes yang direkodkan pada tahun 2023. – MalaysiaGazette 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here