Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mohd Na’im Mokthar menunjukkan Agihan Keuntungan Tabung Haji Tahun 2025 di Menara Tabung Haji, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 21 MAC 2025.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan agihan keuntungan bagi tahun kewangan 2024 meningkat kepada 3.25 peratus setelah mengambil kira zakat sebanyak 2.5775 peratus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, agihan keuntungan berjumlah RM2.92 bilion itu bakal memberi manfaat kepada lebih 9.54 juta pendeposit.

Katanya, kadar agihan itu adalah tertinggi dalam tempoh tujuh tahun sejak 2018.

“Agihan ini dipacu prestasi pelaburan yang lebih baik kesan pertumbuhan ekonomi dan pasaran saham negara yang positif pada tahun 2024, disamping usaha berterusan bagi mengawal kos operasi,” katanya pada sidang media pengumuman agihan keuntungan TH tahun 2024 di Menara TH, di sini, hari ini .

Pada tahun lalu, TH mengumumkan kadar agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.1 peratus mengekalkan rekod yang sama selama empat tahun berturut-turut.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, jumlah agihan keuntungan sejak penubuhan selama 61 tahun terkumpul sebanyak RM45.79 bilion sehingga kini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sokongan dan kepercayaan yang berterusan kepadanya dan pengurusan kanan TH.

“Terima kasih juga atas komitmen dan usaha yang jitu oleh ahli lembaga, ahli-ahli jawatankuasa penasihat syariah dan panel pelaburan, pihak pengurusan kanan dan seluruh warga kerja TH dalam memastikan TH terus menjana pulangan yang baik setiap tahun,” katanya.

Mohd Na’im berkata, pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing pada Ahad ini menerusi platform THiJARI, kaunter Tabung Haji, kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat.

Ujarnya, pendeposit juga boleh menyemak di saluran elektronik bank rakan strategik Tabung Haji iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic.

Menurutnya, seperti tahun-tahun sebelumnya, TH terus melaksanakan tanggungjawab melunaskan zakat sebanyak RM99.35 juta kepada semua Majlis-majlis Agama Islam Negeri-negeri bagi pihak pendeposit TH pada kadar 2.5775% untuk tahun 2024.

Beliau berkata, secara keseluruhan sehingga kini, TH telah melunaskan zakat  berjumlah RM1.47 bilion bagi pihak pendeposit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here