KUALA KRAI – Seorang anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan seorang wanita warga emas cedera selepas dipercayai diserang gajah dalam kejadian di Kampung Laloh, di sini, semalam.
Anak warga emas itu, Nazri Mat Husin, 46, berkata, dia mengetahui mengenai kejadian berkenaan kira-kira pukul 11 pagi selepas dihubungi ibu saudaranya, Fatimah Mat Husin.
“Ibu saya, Zainab Mat Husin, 62, ketika kejadian sedang menoreh getah berhampiran rumah sebelum ditemukan terjatuh di dalam kebun dipercayai akibat diserang gajah.
“Dia telah menjalani pembedahan dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk pemantauan lanjut,” katanya kepada Bernama hari ini.
Sementara itu, Penghulu Kampung Laloh Azmi Muhammad, 45, berkata, sepasukan petugas Perhilitan bergegas ke kawasan terbabit selepas menerima panggilan daripada penduduk kampung mengenai kejadian itu.
“Anggota Perhilitan masuk ke dalam hutan untuk menjejaki gajah berkenaan dan tidak membenarkan orang kampung turut serta kerana bimbang keselamatan mereka … tidak lama selepas itu, kami dapat tahu seorang anggota Perhilitan turut cedera diserang gajah,” katanya dan menambah anggota terbabit dibawa ke hospital menaiki ambulans untuk menerima rawatan.
Sehubungan dengan itu, Azmi menggesa penduduk kampung yang tinggal berhampiran kawasan kejadian agar sentiasa berwaspada dan mengelakkan sebarang aktiviti luar buat sementara waktu bagi mengelakkan berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
“Buat masa ini, saya minta penduduk menangguhkan sebarang aktiviti di kawasan kejadian … saya juga akan berbincang dengan penduduk mengenai langkah seterusnya dan akan sentiasa berhubung dengan pihak polis,” katanya.
“Kejadian telah dimaklumkan kepada Perhilitan dan sedang dalam tindakan mereka. Setakat ini, laporan polis belum diterima, namun pihak kami membantu dengan membuat hebahan kepada penduduk agar berada di dalam rumah dan tidak berkeliaran di luar,” katanya. – Bernama