KUALA LUMPUR- Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menandatangani perjanjian persefahaman dengan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) untuk memperkukuh kerjasama dalam menyediakan penyelesaian kewangan yang lebih baik kepada pelanggan.
Bank Islam dalam kenyataan berkata, kerjasama jangka panjang itu bertujuan memberi peningkatan perlindungan kewangan kepada pelanggan bank berkenaan.
Katanya, melalui tawaran produk takaful yang komprehensif dan mudah diakses yang diuruskan oleh Takaful Malaysia, pelanggan akan menikmati perlindungan yang lebih kukuh untuk keperluan kehidupan mereka.
Antaranya produk Takaful mySmart Wealth Plus, Takaful myPrime Cover dan Takaful mySmart Legacy.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed, menjelaskan bahawa inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Bank Islam untuk menyediakan produk dan perkhidmatan patuh Syariah yang relevan dan inovatif.
“Pelanggan Bank Islam kini boleh mendapatkan produk takaful yang disediakan Takaful Malaysia melalui semua saluran jualan di cawangan-cawangan Bank Islam di seluruh negara,” tambahnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, “Takaful Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama Bank Islam dengan menawarkan pelbagai pelan perlindungan patuh syariah dan menyeluruh kepada pelanggan.
“Kami yakin bahawa gabungan kepakaran dan sinergi bersama Bank Islam akan meningkatkan portfolio perniagaan kami dalam segmen takaful keluarga dan takaful am.
“Langkah ini sejajar dengan strategi perniagaan kami untuk meneroka peluang baharu dan memperluas jangkauan ke pasaran berpotensi.
Kami berhasrat untuk menjadi peneraju takaful yang bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi, tetapi juga memperkasakan masyarakat dengan solusi perlindungan yang lebih inklusif,” katanya. -MalaysiaGazette