Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) melakukan rondaan meninjau keadaan banjir di Kota Tinggi.

JOHOR BAHRU – Batu Pahat menjadi daerah terbaharu dan keenam dilanda banjir negeri ini susulan hujan berterusan sejak kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, Batu Pahat mencatatkan jumlah mangsa banjir seramai 97 orang terdiri daripada 26 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) pertama diaktifkan di daerah itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suria Perdana.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor itu berkata, dengan penambahan daerah itu, menjadikan jumlah mangsa banjir di Johor setakat pukul 8 malam mencecah 12,686 orang terdiri daripada 3,709 keluarga.

“Jumlah itu meningkat berbanding 11,776 orang daripada 3,544 keluarga pada pukul 4 petang tadi.

“Setakat ini, daerah terjejas dengan banjir iaitu Johor Bahru, Kulai, Pontian, Kota Tinggi, Kluang dan Batu Pahat dengan 100 PPS masih beroperasi di semua enam daerah,” katanya menerusi kenyataan akhbar, hari ini.

Menurut beliau, Johor Bahru terus menunjukkan peningkatan mangsa banjir iaitu daripada 4,384 orang (1,407 keluarga) menjadi 5,047 orang (1,505 keluarga) dengan 27 PPS masih aktif setakat malam ini.

Katanya, ini diikuti Kluang yang turut mencatatkan peningkatan jumlah mangsa banjir daripada 2,669 orang (774 keluarga) kepada 2,736 orang (788 keluarga) kini ditempatkan di 27 PPS di daerah itu.

Pontian dan Kulai juga terus mencatatkan jumlah mangsa banjir yang meningkat yang mana Pontian meningkat kepada 1,873 orang (512 keluarga) di 22 PPS, katanya.

Sementara di Kulai katanya, mangsa banjir meningkat kepada 1,276 orang (394 keluarga) yang masih di lapan PPS.

Menurut Azmi, hanya Kota Tinggi yang menunjukkan penurunan daripada 1,671 orang (485 keluarga) pada petang tadi kepada 1,657 orang (484 keluarga) yang masih di 15 PPS aktif.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) tidak mengeluarkan sebarang amaran ribut petir mahu pun amaran hujan bagi negeri ini.

Pada masa sama, Sungai Batu Pahat, Sungai Endau, Sungai Johor, Sungai Pulai dan Sungai Jemaluang merekodkan bacaan air sungai melepasi paras bahaya.

Setakat pukul 8 malam tadi, hanya Kota Tinggi dan Kulai dilaporkan cerah, manakala lapan daerah yang lain dilaporkan mendung.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here