KUANTAN – Peniaga kedai runcit di sekitar daerah ini mengeluh kerana bekalan beras putih tempatan (BPT) bersubsidi yang dikatakan sudah kembali di pasaran hanya tersedia di pasar-pasar raya sahaja.
Tinjauan MalaysiaGazette ke tiga buah pasar raya hari ini mendapati, bekalan BPT dalam pek 10 kilogram yang dijual pada harga RM26 memang banyak di premis-premis berkenaan.
Sedangkan, ketika tinjauan ke beberapa kedai runcit pula mendapati BPT masih menjadi isu kepada peniaga.
Malah, mereka memaklumkan sudah tidak menerima bekalan beras itu sejak dua bulan lalu.
Seorang peniaga, Jegathiswary a/p Rajendran, 32 memberitahu, sebelum ini dia memperoleh bekalan BPT daripada empat pembekal berbeza untuk dijual di kedai runcitnya di Sungai Karang, di sini.
“Dua bulan sekali, saya akan bawa masuk stok daripada pembekal. Kebiasaannya diberi 10 beg BPT yang 10 kilogram sahaja sebab BPT yang 5 kilogram tiada stok. Tapi, untuk bulan ni tak dapat,” katanya.

Meskipun ketiadaan bekalan BPT, dia bersyukur dengan ketersediaan beras putih import yang semakin menjadi pilihan pembeli di kedainya.
Menurutnya, pelanggan tempatan kini kurang mencari BPT berikutan kualiti yang dikatakan kurang memuaskan berbanding beras import.
“Mereka kata nasi daripada BPT akan jadi cepat basi. Saya tawarkan kepada peniaga makanan pun mereka tak nak sebab nasi jadi tak cantik dan lembik.
“Jadi kebanyakan mereka lebih memilih beras putih import ni. Harga mahal sikit pun mereka tak kisah. Sekarang, hanya warga asing yang bertanya mengenai bekalan BPT, sebab murah. Tapi kita tak boleh jual kepada mereka,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Maizatul Fairuz,37 ketika ditemui turut sependapat dengan Jegathiswary.
Dia yang telah berniaga kedai runcit sejak 15 tahun lalu berkata, pelanggannya hanya mencari beras putih import selepas premisnya tidak lagi menjual BPT sejak 10 tahun lepas.

“Memang beras putih import ni orang cari dan sebab tu saya jual sejenis tu sahaja. Pelanggan saya beritahu BPT kadang-kadang cepat basi dan lembik bila dimasak.
“Kalau beras import ni, saya jual RM21.50 bagi beras 5 kilogram dan sekitar RM39.00 kalau 10 kilo, tapi pelanggan tak kisah pun mahal sikit,” tambahnya.
Salah seorang pengguna yang ditemui, Norihan Abdul, 62 pula memberitahu, dia tidak membeli BPT di kedai runcit, sebaliknya akan mencari beras itu di pasar raya kerana tawaran harga yang lebih murah.
Meskipun mengakui kualiti BPT tidak setanding beras import, namun, kadar harga beras yang lebih murah amat dihargainya kerana perlu memasak untuk mereka empat sekeluarga setiap hari.

“Kita perlukan beras tempatan. Kalau tengok bayaran zakat pun bergantung kepada beras yang kita makan. Jadi, kita terpaksa bayar harga lebih tinggi sebab sebelum ni kan kita makan beras import. Lebih-lebih lagi yang ada anak ramai tu, kesian lah.
“Sebab, sebelum heboh-heboh tiada bekalan dulu, memang susah cari. Baru-baru ini sahaja ada selepas orang ramai bangkitkan isu BPT,” katanya.
Semalam, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan berkata, lebih 2.6 juta kampit beras putih tempatan sudah diedarkan di pasaran seluruh negara setakat ini.
Beliau berkata, pengedaran beras bersubsidi berharga RM26 bagi pek 10 kilogram itu melibatkan 21,190 premis runcitan termasuk pasar raya dan kedai runcit. – MalaysiaGazette