SEPANG – Kerajaan mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri kepada penjawat awam sebanyak RM500 mulai minggu depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan itu diberikan sebagai insentif dan juga sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka dan persediaan untuk menghadiri Hari Raya Aidilfitri.
“Kita (kerajaan) akan salurkan bagi gred 56 ke bawah RM500 bagi setiap penjawat awam dan untuk pesara RM250 termasuk veteran dan veteran tidak berpencen
“Selain itu mulai Isnin ini, Sumbangan Tunai Rahmah akan juga diberikan supaya mengingatkan beban rakyat,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad, KLIA, hari ini.
Jelas Anwar, sumbangan khas itu melibatkan perbelanjaan berjumlah RM1 bilion.
Menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1/2024 Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), Gred Sistem Saraan Malaysia (SSM) 55 dan 56 ditukarkan Gred SSPA 15.
Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sebelum ini memohon kerajaan supaya menyalurkan BKK Aidilfitri kepada penjawat awam.
Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat dilaporkan berkata, pemberian BKK penting bagi meringankan beban perbelanjaan sempena sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang. – MalaysiaGazette