Chang Lih Kang

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR Chang Lih Kang hari ini mengumumkan akan bertanding bagi mempertahankan jawatan itu pada pemilihan parti berkenaan, 24 Mei ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata, beliau memerlukan sokongan daripada seluruh anggota parti terutamanya di peringkat akar umbi untuk bersama-sama mengukuhkan PKR demi masa depan Malaysia yang lebih baik.

“Kita perlukan pemimpin yang bukan sekadar menumpang kejayaan, tetapi yang telah membuktikan komitmen sejak awal terhadap perjuangan reformasi. Saya sendiri telah melalui jatuh bangun parti ini. Kita pernah berada di titik yang terendah, pernah dikhianati.

“Namun saya tetap setia bersama parti kerana saya yakin PKR adalah parti masa depan… Dengan rendah hati, saya Chang Lih Kang menawarkan diri untuk terus berkhidmat dan mempertahankan jawatan Naib Presiden dalam pemilihan parti kali ini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan empat penyandang menyatakan akan mempertahankan jawatan naib presiden iaitu Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dan Nurul Izzah Anwar.

Selain itu, Ketua Penerangan PKR Datuk Fahmi Fadzil pada Ahad lepas juga mengumumkan untuk bertanding jawatan Naib Presiden PKR.

Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh sebelum ini dilaporkan berkata pemilihan bagi jawatan di peringkat Cabang, Wanita Cabang dan Angkatan Muda Keadilan Cabang ditetapkan pada 11 hingga 20 April, manakala jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) akan dilaksanakan pada 24 Mei. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here