Sebahagian pelajar dan kakitangan KKS yang menyertai gotong-royong memasak bubur lambuk.

KUALA LUMPUR – Para pelajar dan kakitangan Kolej Komuniti Selayang (KKSY) bergotong-royong menyediakan 1,500 bekas bubur lambuk untuk diedarkan kepada 25 agensi dan komuniti sekitar Selayang sempena Majlis Semarak Ramadan 2025.

Aktiviti memasak bubur lambuk ini melibatkan 400 pelajar dan 60 kakitangan KKSY yang bersama-sama menyediakannya sejak awal pagi bagi memastikan juadah tradisi ini dapat dikongsi dengan masyarakat setempat.

Selain itu, aktiviti ini mengetengahkan bakat dan kemahiran warga KKSY yang dikenali dalam bidang hospitaliti.

Inisiatif ini bukan sekadar amalan bersedekah tetapi juga mendidik pelajar tentang kepentingan nilai gotong-royong, kesyukuran dan kasih sayang dalam komuniti.

Selain agihan bubur lambuk, program ini turut dimeriahkan dengan penyediaan juadah berbuka puasa, Khatam Al-Quran, Ceramah Nuzul Al-Quran, serta penyerahan watikah Rakan Belia YADIM sebagai tanda amanah kepada generasi muda dalam menyebarkan nilai murni.

Selain itu, sumbangan kotak bantuan kepada pelajar, kakitangan dan komuniti juga telah disampaikan oleh YB Tuan William Leong Jee Keen, Ahli Parlimen Selayang membuktikan keindahan Ramadan sebagai bulan memberi dan berkongsi rezeki.

“Bantuan ini bukan sekadar pemberian barangan keperluan, tetapi lebih daripada itu dan ia adalah simbol kasih sayang, sokongan, dan keprihatinan kita terhadap kesejahteraan para pelajar dan penerima yang lain,” ucap beliau sewaktu program ini.

Tambah beliau lagi, sumbangan ini diharap dapat membantu meringankan beban dan memberi motivasi untuk penerima khususnya para pelajar untuk terus berusaha dalam pelajaran masing-masing.

Program ini diteruskan dengan sesi berbuka puasa beramai-ramai dan diakhiri dengan solat tarawih berjemaah, mencipta kenangan bermakna antara pelajar, kakitangan dan tetamu yang hadir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here