Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Aviation, Datuk Kapten Izham Ismail (kiri) menyampaikan replika kapal terbang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pesawat Baharu bersama Syarikat Boeing di Le Meridien Putrajaya, Foto HARI ANGGARA, 21 MAC 2025

PUTRAJAYA – Malaysia Aviation Group (MAG) akan menerima 30 pesawat Boeing-737 dalam tempoh lima tahun akan datang sehingga tahun 2030.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tempahan oleh syarikat induk Malaysia Airlines Berhad (MAB) itu bakal mengukuh kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam industri penerbangan global.

“Industri penerbangan sentiasa menjadi pemangkin kepada kemajuan ekonomi, membuka pintu kepada perdagangan, pelancongan dan peluang baharu.

“Pencapaian ini bukan sekadar memodenkan barisan pesawat penerbangan tetapi juga memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam industri penerbangan global serta mengukuhkan asas ekonomi kita dalam dunia yang semakin kompetitif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pertukaran Dokumen bagi Pesanan Penggantian Pesawat Kecil MAG di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail.

Pada majlis itu, Anwar menyaksikan pertukaran dokumen antara MAG dengan Boeing dan CFM International.

Tempahan 30 pesawat baharu itu merangkumi 18 pesawat Boeing 737-8 dan 12 pesawat Boeing 737-10 yang dikuasakan oleh enjin CFM International LEAP-1B, dengan pilihan untuk menambah 30 lagi pesawat Boeing 737 pada masa hadapan.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, tempahan pesawat oleh MAG penting sebagai pelaburan yang mengesahkan komitmen mereka terhadap pertumbuhan dan daya tahan berterusan.

Perdana menteri menjelaskan, ia dapat meningkatkan kesalinghubungan Malaysia dengan dunia luar.

“Selama beberapa dekad, syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines lebih daripada sekadar sebuah syarikat penerbangan iaitu adalah negara, membawa bendera dan semangat kita ke setiap sudut dunia.

“Setiap rakyat Malaysia yang pernah menaiki penerbanga sama ada untuk mengejar impian di luar negara, bertemu semula dengan orang tersayang atau pulang ke tanah air selepas menempuh perjalanan yang panjang akan berasa selesa apabila mendengar kata-kata yang biasa iaitu kepada semua rakyat Malaysia, selamat pulang ke tanah air,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here