Nooraini Abu Bakar menunjukkan keadaan rumanya di Kampung Seri Jaya, Johor Bahru, selepas banjir surut hari ini.

JOHOR BAHRU – Mangsa banjir di Kampung Seri Jaya di sini seakan sudah tawar hati untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi kerana rumahnya dilanda banjir semalam.

Nooraini Abu Bakar, 61, berkata, semangat untuk menyambut Syawal sudah luntur apabila memikirkan bencana alam tersebut yang memusnahkan barang-barang dalam rumahnya.

”Kebiasannya rumah saya turut menjadi tempat berkumpul ahli keluarga ketika Hari Raya Aidilfitri. Selalu hari raya kita gilir-gilir dengan adik beradik untuk berkumpul di rumah siapa.

“Kadang-kadang mereka datang sini juga. Tapi, lihatlah, tiada satu pun barangan yang dapat diselamatkan, macam mana nak beraya di sini.

“Nasib baik tiada beli barang-barang baharu, tetapi barang sedia ada kebanyakannya semua rosak akibat ditenggelami air. Hari Raya ini, memang kita sambut apa ada sahajalah,” katanya ketika ditemui sedang mengemas rumahnya hari ini.

 

Anggota bomba bersama-sama membantu menyelamatkan mangsa banjir.

Nooraini yang tinggal berseorangan di rumah itu mengakui tetap bersedih dengan musibah tersebut walaupun persiapan menyambut Aidilfitri masih belum dibeli.

“Saya tergerak hati untuk tidak membuat sebarang persiapan raya terlebih dahulu, tak sangka ini ujian yang sebenarnya perlu saya lalui,” katanya.

Dia berterima kasih kepada abang sulungnya, Md Yussof, 70, yang datang dari Taman Johor Jaya di sini untuk membantu mengemas rumahnya manakala anak saudara datang dan membawa Nooraini tinggal sementara di rumah dia sejak semalam.

Katanya, ketika kejadian banjir semalam, dia dapat menyelamatkan dokumen penting sahaja.

“Kelmarin hujan, semalam pagi saya nampak air dah naik sikit, saya ingat tidak teruk sebab pada Januari lalu, ada berlaku banjir dan air naik di bahagian parkir luar rumah sahaja.

“Tetapi, dengan tak semena-mena semalam, air terus naik sampai paras dada. Anak saudara ambil saya duduk rumah kakak di Taman Nusantara. Tiada apa dapat saya bawa kecuali dokumen penting. Banjir kali ini adalah yang terburuk,” katanya.

Walaupun cuaca nampak cerah hari ini, Nooraini tetap bimbang jika hujan berlaku lagi dan berterusan, namun perlu reda dan hadapi jika banjir berulang.

Penduduk diminta keluar dari kediaman yang dilanda banjir.

Sementara itu, Halimah Ismail, 58, berkata, persiapan raya yang sudah dibeli seperti kuih raya dan pakaian sudah rosak akibat ditenggelami air.

Pekerja swasta itu berkata, ini adalah pengalaman terburuknya memandangkan rumah pusaka orang tuanya itu tidak pernah dimasuki air apabila banjir, malah pengalaman berbuka puasa dan bersahur di pusat pemindahan sementara (PPS) juga adalah yang tidak boleh dilupakan.

“Belakang rumah, mereka ada buat benteng, jadi kita jarang kena banjir, kalau naik pun tak masuk dalam rumah. Tetapi, kali ini memang yang terburuk, habis semua barangan dalam rumah tenggelam.

“Semalam, saya dan suami pindah ke PPS. Memang berbuka puasa dan bersahur seadanya di PPS sebab mangsa banjir ramai, tetapi kita tahu makanan tidak cukup,” katanya.

Halimah berkata, ketika kejadian semalam, dia dan suami, Zulkifli Halim, 68, terpaksa menyelamatkan kereta terlebih dahulu apabila menyedari air sudah mula naik.

Bagaimanapun, sekembali mereka semula ke kwasan rumah, air sudah naik hingga paras dada menyebabkan tiada barangan lain yang sempat diselamatkan.

Ibu kepada empat anak itu berkata, dia akan menyambut Ramadan dan Syawal dengan sederhana kerana memikirkan kos yang diperlukan untuk membersih rumah, membaiki dan mengganti peralatan rumah yang rosak hampir 95 peratus itu akibat banjir.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here