BUTTERWORTH – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan meneruskan projek pemasangan saluran paip air terawat baharu bernilai RM128 juta dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua ke Butterworth.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk K. Pathmanathan berkata, pemasangan itu akan dibuat bermula tahun hadapan selepas mendapat kelulusan daripada pelbagai pihak berkuasa Persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan termasuk Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Jelas beliau, pemasangan paip sepanjang 13 kilometer itu merupakan sebahagian daripada Pelan Kontingensi Air Ke-4 2030 (WCP 2030) bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk Pulau Pinang.
“Saluran paip baharu ini akan menyambungkan outlet baharu di LRA Sungai Dua ke inlet Saluran Paip Dasar Laut Berkembar ke-3 (PTSP ke-3) di Butterworth
Mengulas lanjut Pathmanathan berkata, ketika ini pihaknya sedang memuktamadkan penjajaran saluran paip baharu di SPU, selain berusaha menyegerakan kelulusan lain daripada pihak berkuasa seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepada (IADA) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
“Delegasi PBAPP pada 12 Mac lepas juga telah bertemu dengan Ketua Pengarah LLM, Datuk Sazali Harun dan pada dasarnya beliau setuju dengan rancangan untuk memasang saluran paip merentasi atau di sepanjang tanah LLM, dengan syarat kerja-kerja air tidak menyebabkan isu besar di BORR atau NSE.
“Kami sedang berusaha secepat mungkin untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan daripada pihak berkuasa berkaitan. Berdasarkan penjajaran akhir, kemungkinan PBAPP akan terlibat dalam aktiviti pengambilan tanah kerana saluran paip itu pasti akan merentasi plot tanah milik persendirian di SPU.
“PBAPP memohon persefahaman, kerjasama dan sokongan semua pihak terlibat dan yang akan terlibat dalam projek saluran paip Sungai Dua-Butterworth. Kita perlu melaksanakan projek WCP 2030 ini tepat pada masanya bagi memastikan Pulau Pinang mempunyai bekalan air mencukupi sehingga 2030,” katanya. – MalaysiaGazette