Dya Meli menunjukkan pakaian hari raya yang rosak selepas gerainya dilanda banjir di Bazar Raya Kota Tinggi, Kota Tinggi, hari ini

KOTA TINGGI – Peniaga Bazar Raya Kota Tinggi di bandar ini sedih dan kecewa selepas mengalami kerugian puluhan ribu ringgit berikutan gerai masing-masing dilanda banjir semalam.

Seorang peniaga, Dya Meli Asman, 21, berkata, banjir berlaku kira-kira 10 hari lagi menjelang hari raya yang biasanya orang ramai akan mendapatkan kelengkapan pada saat-saat akhir.

“Apa yang lebih menyedihkan saya baru pertama kali mencuba menjual baju raya berbanding sebelum ini hanya berniaga salon. Saya bermodalkan lebih RM80,000 untuk menjual pakaian perempuan, lelaki, kanak-kanak, kurta di bazar ini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Dia mengetahui banjir di daerah ini pada pukul 12 tengah hari semalam semasa berada di Plaza Kota Tinggim di sini dan pada masa sama rakannya melahirkan kebimbangan air akan turut naik di kawasan bazar tersebut.

“Sebaik sahaja pergi ke gerai, saya dapati air sungai yang terletak tepi bazar sudah mula melimpah. Air turun dengan laju. Saya hanya berdua berkemas ketika itu kerana tiga lagi pekerja tidak dapat bantu kerana rumah mereka juga dilanda banjir.

“Kami berkemas sampai pukul 10 malam. Semua pakaian kami simpan asing siap-siap yang kering dan basah dalam plastik, banyak pakaian yang basah,” katanya.

Dia mengakui situasi tersebut membuatkan dia sedih, bahkan menangis mengenangkan kerugian ditanggung.

“Memang sedih masa kemas kita tak tunjuk sedih. Bila balik rumah menangis sampai tertidur. Keluarga pula jauh di Pahang, di sini saya niaga seorang diri.

“Hari ini kita masih sambung berkemas kalau siap mungkin malam sudah boleh mula niaga. Kita juga rancang mengadakan jualan lelong baju banjir di gerai kami bernombor 47 esok.

“Semua pakaian yang terjejas akan dibawa ke dobi dulu sebelum dijual lelong pada harga murah,” katanya lagi.

Bagi pemilik kedai tudung The Selamah, Azmir Ishak, 40, yang mengusahakan gerai bazar itu bersama-sama beberapa rakan lain mengalami kerugian kira-kira RM5,000 selepas platform serta karpet yang dipasang basah akibat banjir.

“Kita memang dah dapat maklumat dua tiga hari tentang amaran banjir. Semalam bila hujan tidak berbenti memang risau.

“Kita pun ada pasang CCTV dan dapat lihat air dari sungai tepi ini sudah penuh dan melimpah. Bila sampai di gerai air sudah penuh namun mujur kami sempat berkemas selamatkan produk kami,” katanya.

Ujarnya, jika diikutkan minggu-minggu terakhir Ramadan ini adalah waktu mereka mengejar hasil jualan ekoran peningkatan jumlah pelanggan, bagaimanapun dia reda dengan ujian yang berlaku.

Tambahnya, apa yang berlaku itu merupakan pengalaman pertama mereka berdepan banjir sepanjang lima tahun berniaga di bazar itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here