KUALA LUMPUR – Semua pihak perlu menghormati keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk tidak melakukan perobohan struktur Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman berhampiran Jalan Masjid India.
Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Amidi Abdul Manan berkata, pihak tertentu tidak perlu menyuarakan pandangan yang boleh menyemarakkan api perkauman.
“Perpindahan dan prosesnya telah disepakati dan kita perlu menghormatinya,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai pertemuan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif dengan Pengerusi Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman, K Barthiban semalam.
Maimunah memberi jaminan akan menjadi pemudah cara dalam memastikan urusan perpindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India yang terletak di atas tanah swasta ke lokasi baharu diselesaikan dengan baik.
Beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti lokasi baharu kuil berkenaan dan proses pemindahan akan dilakukan secara telus dan adil, membabitkan perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.
Sementara itu Amidi berkata, reaksi sekelompok peguam berkaitan pembinaan masjid dan perpindahan kuil tersebut sudah dijangka.
Katanya, kelompok berkenaan dilihat cuba memberi gambaran seolah-olah pihak berkenaan tidak mempedulikan nasib yang diperjuangkan oleh mereka.
“Ia boleh dilihat dari latar belakang mereka yang mempunyai kepentingan yang tersendiri.
“Tiada apa yang pelik mereka bertindak sedemikian. Langkah DBKL berbincang dengan pemilik kuil juga diperleceh,” tambahnya. – MalaysiaGazette