GEORGE TOWN – Pesakit dari Indonesia kini tidak lagi perlu bersusah payah menukar wang atau membawa tunai ketika mendapatkan rawatan di Hospital Adventist Penang susulan pelaksanaan sistem pembayaran Quick Response Code Indonesian Standard (QRIS).
Konsul Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Pulau Pinang Wanton Saragih berkata, penggunaan QRIS memudahkan pesakit dari negara itu membuat transaksi dengan mengimbas kod QRIS atau DuitNow QR Code, menggunakan akaun rupiah dalam aplikasi pembayaran mereka sendiri.
“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha KJRI di Pulau Pinang dalam memperluaskan penggunaan QRIS di pelbagai sektor seperti hospital, farmasi dan pusat beli-belah bagi kemudahan pesakit Indonesia.

“Ia juga sejajar dengan perjanjian Local Currency Transaction (LCT) yang dimeterai antara bank pusat Indonesia dan Malaysia sejak tahun 2018.
“Malah, penggunaan QRIS turut meningkatkan keselamatan kerana pesakit tidak perlu membawa wang tunai serta mengurangkan pergantungan kepada mata wang dolar Amerika (AS$) serta menjimatkan kos pertukaran wang,” katanya pada majlis pelancaran sistem QRIS di sini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Adventist Penang, Albin Phuah.
Tambah Wanton Saragih, mengikut rekod, lebih daripada 60,000 WNI telah mendapatkan rawatan di hospital berkenaan sepanjang tahun lalu.
“Ia sekali gus menjadikan inisiatif ini satu langkah penting dalam mempertingkatkan pengalaman pesakit Indonesia di hospital tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette