JOHOR BAHARU – Polis menahan seorang peniaga dan merampas 139 kotak mercun selepas menyerbu sebuah rumah di Taman Perling di sini pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, sebuan dilakukan sepasukan anggota dari Unit Risik Marin (URM), Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor pada pukul 3 petang.
Beliau berkata, pemeriksaan di bahagian garaj rumah berkenaan menemukan mercun berkenaan yang disembunyikan di situ.
“Hasil siasatan awal kita mendapati semua bahan letupan mercun ini adalah untuk dijual di bazar-bazar Ramadan bagi kegunaan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Namun kita masih menyiasat dari mana sumber bekalan ini diperoleh,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara (JBU) di sini, hari ini.
Menurut Balveer Singh, setakat ini, ia adalah rampasan bahan letupan mercun terbesar di kawasan bawah pentadbiran IPD Johor Bahru Utara.
Katanya, jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM347,500.
Tambahnya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki terbabit negatif sebarang penyalahgunaan dadah.
Pada masa sama, Balveer Singh menasihatkan orang ramai supaya mematuhi undang-undang dan memiliki lesen yang sah sebelum menjalankan apa-apa perniagaan berkenaan bahan letupan termasuk penjualan bunga api dalam musim perayaan.- MalaysiaGazette