JOHOR BAHRU – Seorang remaja perempuan maut dilanggar lori dipandu warga emas semasa melintas di Kilometer 4.8 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kejadian membabitkan remaja berusia 13 tahun itu berlaku pada pukul 11 pagi.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah lori dipandu seoang lelaki berusia 60 tahun dari arah Johor Bahru menuju ke Kulai tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa yang tiba-tiba melintas jalan dari sebelah kanan lokasi kejadian.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori berkenaan tidak cedera,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 41(1) Kanun Keseksaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang menyebabkan kematian kerana memandu melulu dan berbahaya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumbat berkenaan kes berkenaan supaya menghubungi dan menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Ong Jin Siong 011-16490168.- MalaysiaGazette