Gambar Hiasan

KOTA TINGGI – Seorang wanita berputih mata selepas wang simpanannya RM105,600 lesap akibat tertarik dengan tawaran keuntungan dalam satu pelaburan palsu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kejadian tersebut bermula apabila mangsa yang merupakan warga tempatan berusia 52 tahun melihat satu iklan pelaburan saham dalam Telegram.

Menurut beliau, skim pelaburan berkenaan menawarkan keuntungan yang lumayan sehingga mencecah puluhan ribu ringgit.

“Modus operandi sindiket skim pelaburan ini dengan menawarkan satu pelaburan percubaan di mana mangsa akan diberi modal percubaan sebanyak RM5,000 secara percuma dan mendapat pulangan hasil pelaburan sebanyak RM247 dalam tempoh masa beberapa hari.

“Terpedaya dan tertarik dengan pelaburan ini dan mangsa merasa yakin syarikat ini akan memberi keuntungan kepadanya, wanita berkenaan bersetuju untuk membuat pelaburan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa membuat 17 kali transaksi wang ke dalam dua akaun yang berbeza melibatkan wang keseluruhan berjumlah RM105,600 bermula 12 Februari lalu sehingga 11 Mac lalu.

Kemudian pada 18 Mac lalu katanya, mangsa menghubungi suspek untuk menuntut wang hasil keuntungan pelaburannya namun suspek tidak mahu memberikan keuntungan itu sebaliknya menyuruh mangsa menambahkan lagi wang pelaburan.

Mangsa katanya, membuat laporan polis semalam selepas menyedari dirinya ditipu apabila gagal mengeluarkan wang hasil pelaburannya dari syarikat tersebut.

Bukan itu sahaja katanya, wanita berkenaan juga gagal untuk mendapatkan kembali wang miliknya yang telah dilaburkannya.

Yusof memberitahu, polis menyiasat kes berkenaan bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Polis daerah Kota Tinggi menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati terhadap skim pelaburan yang tidak sah atau tidak berdaftar.  Jangan terpedaya dengan skim pelaburan palsu yang menjanjikan pulangan yang sangat lumayan dalam masa yang singkat.

“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat berkaitan modus operandi jenayah komersil terkini dengan mengikuti laman sosial rasmi jabatan siasatan jenayah komersil seperti Facebook, Instagram, dan TikTok,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here