Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) memindahkan manga banjir di Kangkar Terbrau, Johor Bahru ke PPS

JOHOR BAHRU – Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu segera menyalurkan bantuan khas sebelum Aidilfitri kepada mangsa banjir di Johor yang terjejas teruk ketika ini.

Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat berkata, fenomena banjir kali ini luar biasa apabila hujan dalam tempoh dua hari sejak kelmarin menyamai kadar hujan dua bulan biasa.

Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat Foto MUHD NA’IM. 27 OGOS 2023.

Keadaan itu katanya, menyebabkan beberapa kawasan di Johor Bahru, Kulai, Pontian, Kluang dan Kota Tinggi ditenggelami air.

“Saya telah melawat beberapa lokasi termasuk pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Kampung Pasir dan mendapati ramai penduduk kehilangan harta benda menjelang Aidilfitri.

“Limpahan air Sungai Skudai turut menyebabkan kenderaan terkandas lebih tujuh jam di Lebuhraya Skudai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor itu menambah, banjir kali ini memusnahkan peralatan rumah, pakaian, dokumen penting serta kenderaan, menyebabkan kerugian besar kepada rakyat.

Selain itu, Suhaizan turut mencadangkan peruntukan untuk membaiki infrastruktur rosak seperti jalan raya, sistem perparitan dan saluran paip bawah tanah, khususnya di kawasan rumah pangsa seperti Lily Jasmine di Tampoi.

Jelasnya, ini bagi mengelakkan kejadian banjir luar biasa berulang.

Beliau turut menggesa agar penyelenggaraan Sungai Skudai menerusi peruntukan RM99.8 juta Kerajaan Madani perlu disegerakan.

“Projek pam penyedut air sungai ke laut seperti di Kampung Pasir juga wajar diberi keutamaan,” katanya.

Banjir yang melanda sejak kelmarin telah menyebabkan penduduk di Johor Bahru, Kulai, Kota Tinggi, Pontian dan Kluang dipindahkan ke PPS.

Setakat pukul 2 petang tadi, jumlah mangsa banjir direkodkan seramai 10, 794 penduduk daripada 3,216 keluarga yang berlindung di 99 PPS.

Daerah Johor Bahru merekodkan mangsa tertinggi seramai 3,664 orang daripada 1,139 keluarga ditempatkan di 27 PPS.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here