Syahredzan Johan

KUALA LUMPUR – Kenyataan bekas ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim yang menyifatkan cadangan had dua penggal sebagai tidak berguna, dibidas Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Syahredzan Johan.

Ahli Parlimen Bangi itu berkata had dua penggal yang disyorkan oleh kerajaan akan mengelakkan situasi di mana seseorang individu memegang kuasa terlalu lama sehingga boleh menyebabkan kerosakan yang tidak dapat diperbaiki.

“Mendakwa bahawa ia (cadangan Perdana Menteri 10 tahun) tidak perlu menunjukkan bahawa beliau tidak bersikap progresif atau cenderung kepada pembaharuan dan tidak selari dengan tuntutan demokrasi moden.

“Seseorang juga tertanya-tanya sama ada bantahannya hanyalah kerana Datuk Seri Anwar telah bersetuju dengannya secara prinsip?, bidas beliau, hari ini.

Syahredzan berkata demikian mengulas kenyataan Zaid Ibrahim yang berkata cadangan had dua penggal sebagai tidak berguna, atas alasan Malaysia bukan seperti Korea Selatan, Indonesia, dan Filipina yang pernah mengalami pemerintahan tentera selama beberapa tahun.

Bekas Ahli Parlimen Kota Bharu itu mengambil contoh Singapura, China, dan Rusia yang menurutnya tidak akan capai kejayaan sekarang tanpa pemimpin jangka panjang seperti Lee Kuan Yew, Deng Xiaoping, Xi Jinping dan Vladimir Putin.

Sebelum ini, cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun akan diteliti oleh Kabinet, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga jurucakap kerajaan berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengeluarkan arahan itu sewaktu mesyuarat Kabinet yang berlangsung pada Rabu lalu.

Cadangan tersebut menjadi perhatian semula apabila dibangkitkan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook sewaktu berucap di Kongres ke-18 DAP di Shah Alam, pada Ahad lalu.

Anwar yang turut menghadiri kongres tersebut dilaporkan berkata, kerajaan sedia meminda Perlembagaan bagi membolehkan perkara itu direalisasikan, setelah ia mendapat konsensus daripada Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here