Kredit FB Anwar Ibrahim.

TUARAN – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan ibu bapa di negara ini supaya fokus membentuk dan mendidik anak-anak mereka untuk menjadi pakar tempatan yang amat diperlukan negara pada masa hadapan.

Beliau berkata Kerajaan MADANI kini giat mempromosi Malaysia terutama kepada syarikat luar negara bagi membawa masuk pelaburan serta teknologi baharu dan langkah itu memerlukan lebih ramai tenaga pakar.

Justeru Anwar meletakkan harapan yang tinggi supaya ramai anak tempatan mengisi peluang sebagai tenaga pakar dan seboleh-bolehnya tidak mahu peluang itu terlepas kepada mereka dari negara luar.

“Keadaan berubah dengan ledakan teknologi terutama AI (kecerdasan buatan), jadi ibu bapa perlu beri tumpuan kerana kita perlu pakar daripada anak-anak sekolah kita dengan penguasaan Bahasa Inggeris yang sangat baik, belajar dengan tekun sains, teknologi dan matematik manakala disiplin juga dijaga baik.

“Kita hanya mampu bawa (syarikat luar) datang ke Sabah, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan negeri lain, kerja kita jadi jurujual negara maknanya menarik minat mereka tetapi kalau anak-anak kita tidak terlatih, kita terpaksa mencari pakar luar negara,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa MADANI Peringkat Negeri Sabah di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Anwar juga berkata apabila anak-anak berjaya dibentuk dengan baik bagi mewarisi negara, beliau yakin Malaysia berada di landasan yang tepat ke arah menjadi sebuah negara maju dengan teknologi terkini.

“Tolonglah ingat baik-baik pesan Tok Anwar ini, ubah diri masing-masing menjadi pakar untuk majukan negara kita dan bantulah rakyat kita dengan sebaiknya,” kata beliau. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here