KUALA LUMPUR – Penyelesaian isu berhubung isu penempatan semula Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India yang didirikan di atas tanah milik syarikat Jakel harus diselesaikan secara muhibah.
Menurut Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali, kaedah penyelesaian kepada isu tersebut perlu menjauhkan sentimen agama sekiranya ingin melihat isu berkenaan diselesaikan dengan baik.
“Tiada sentimen agama yang perlu diperhangatkan. Kembali kepada kaedah dan asas pemilikan.
“Keharmonian lebih mahal untuk dipertahankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak supaya tidak mengambil kesempatan mahu menjadi jaguh berhubung isu pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India.
Perdana Menteri berkata, ketika ini pihak berkaitan sedang berunding dan mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan isu berkenaan.
Mengulas lanjut, Mohd. Khairuddin berkata Islam menganjurkan apa-apa sahaja isu berkaitan agama diselesaikan secara harmoni dan damai dalam menyelesaikan apa sahaja pertikaian secara perundingan.
Jelasnya lagi, masyarakat perlu kembali kepada asasnya di mana perkara itu perlu diserahkan kepada pihak yang berhak.
“Isunya ialah kuil telah dibina di atas tanah bukan miliknya. Tuan tanah berhak mendapatkan kembali hak miliknya dan membina apa sahaja di tanah miliknya termasuk masjid.
“Kuil dipindahkan ke tempat lain dengan diberikan pula peluang memiliki tanah. Ia kekal menjadi tempat ibadah cuma di tempat yang bersesuaian dengan pemilikan yang sah pula,” katanya lagi.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ini memberi jaminan untuk menyelesaikan isu pembangunan tanah milik sebuah syarikat swasta di Jalan Masjid India, yang sebahagian kecil menempatkan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.
Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL melalui kenyataan memaklumkan pihaknya sudah mengenal pasti lokasi baharu untuk pemindahan rumah ibadat itu bagi memastikan penganut Hindu dapat terus menjalankan aktiviti keagamaan mereka dengan selesa dan harmoni.
Kelmarin, media melaporkan proses perbincangan mengenai perpindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang terletak di atas tanah milik Jakel Group berjalan dengan harmoni di antara pihak syarikat, pengurusan kuil dan DBKL.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif dilaporkan berkata DBKL berperanan menjadi pemudah cara dalam memastikan urusan perpindahan itu yang terletak di atas tanah swasta ke lokasi baharu diselesaikan dengan baik. – MalaysiaGazette