Nur bersama-sama dua daripada empat anaknya yang ditempatkan di PPS Dewan Raya Kampung Maju Jaya, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Luluh hati seorang pengusaha katering di Kampung Maju Jaya di sini apabila melihat peralatan dan perkakasan katering, kelengkapan sekolah serta pakaian hari raya baharu dibeli ditenggelami banjir.

Nor Ahmad, 44, kelu apabila melihat keadaan dalam rumahnya yang tunggang-langgang dengan keadaan barang dan perabot terapung selepas air naik sehingga mencecah bumbung.

“Keadaan dalam rumah macam gempa bumi.

Tak boleh nak cakap apa. Air mula naik antara pukul 7 dan 8 pagi kelmarin. Air naik dengan mendadak dan cepat. Ini menjadikan saya kelam kabut tak sempat nak naikkan semua barang dalam rumah ke tempat tinggi.

“Banyak barang dan pakaian dalam rumah yang tidak sempat diletakkan di tempat tinggi telah dihanyutkan banjir,” katanya ditemui pemberita di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kampung Maju Jaya di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/03/22/mangsa-banjir-johor-melonjak-13000/

Dia berkata, sempat menaikkan separuh daripada peralatan dan perkakasan katering atas rak tetapi sebahagiannya tetap dihanyutkan banjir kerana air terlalu tinggi.

“Peralatan dan perkakasan antaranya peti sejuk beku, peti ais, tong gas, dapur (peralatan memasak), pinggan dan cawan habis hanyut semuanya,” ujar ibu kepada empat anak berusia 3, 8, 10 dan 12 tahun itu.

Begitu juga katanya, kelengkapan sekolah tiga anaknya seperti kasut, baju seragam dan barang sekolah hilang dihanyutkan air banjir termasuk kelengkapan hari raya yang sudah dibeli berjumlah lebih RM1,000.

“Kelengkapan sekolah tidak tahu ada di mana kerana rumah masih belum kemas. Banyak barang yang perlu dikeluarkan terlebih dahulu, baru boleh jumpa pakaian sekolah, sama ada dalam rumah atau sudah hanyut.

“Kalau jumpa dan masih boleh dibasuh dan tidak rosak, bolehlah pakai semula. Kelengkapan dan pakaian hari raya pun sama, tak tahu hanyut ke mana.

“Barang macam tilam dan almari memang kena buang sebab dah tak boleh digunakan lagi. Boleh kata total lost banjir kali ini. Tak fikir dah pasal sambutan hari raya,” ujarnya.

Menurutnya, dia hanya sempat menyelamatkan kad pengenalan dan sijil kelahiran selain menyifatkan banjir pada kali yang terburuk di kampung berkenaan.

Apabila tentang jumlah kerugian ditanggung, Nor berkata, perkara tersebut masih tidak dapat dipastikan kerana masih belum pulang ke rumah untuk menilai sendiri kerosakan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here