Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Shamsher Singh Tind.

KUALA LUMPUR – Seorang peguam, Dr. Shamsher Singh Thind mengingatkan kebebasan beragama tidak mengizinkan mana-mana pihak untuk menceroboh tanah orang lain.

Malah, beliau turut menekankan yang mana Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan iaitu berkaitan kebebasan beragama tidak mengatasi Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan iaitu berkenaan hak terhadap harta.

Bagaimanapun, ujar beliau, dalam isu pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, sekiranya wujud penjelasan munasabah misalnya tuan tanah terdahulu telah memberi keizinan tetapi ditolak tuan tanah baharu, maka kerajaan boleh membantu pihak pengurusan kuil terbabit.

“Bantuan itu sama ada dengan menyediakan tapak baharu untuk kuil tersebut, atau mengambil tanah tersebut melalui Akta Pengambilan Tanah 1960 (jika bersesuaian), atau dengan meminta tuan tanah memberi sedikit bayaran ex gratia supaya kuil dapat dipindah ke tempat lain,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Shamsher Singh turut mencadangkan kepada wakil rakyat beragama Hindu supaya menjalankan kajian ke atas semua kuil yang ada di negara ini sama ada yang besar atau kecil.

Ujarnya, kesemua kuil itu perlu dipastikan sama ada dibina di atas tanah milik sendiri, tanah yang telah dipajak atau disewa secara sah, atau kebenaran menduduki tanah melalui apa-apa cara lain diperolehi secara bertulis daripada tuan tanah.

“Kalau ada, okay. Kalau tak ada, pastikan AJK (pihak pengurusan) kuil tersebut dipanggil untuk bagi penjelasan,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar turut mengingatkan supaya isu pemindahan kuil tersebut tidak disensasikan memandangkan ia bukan isu untuk menidakkan penganut Hindu mengamalkan upacara agama mereka.

Menjelaskan lebih lanjut, katanya, kuil itu berada di atas milikan peribadi sebuah syarikat dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui rundingan juga telah bersetuju menempatkan kuil tersebut di tempat lain untuk orang Hindu melaksanakan upacaara keagamaan mereka.

“Ia telah disepakati. Syarikat tersebut juga telah mengakujanji tidak akan meroboh kuil selagi perpindahan tidak selesai.

“Kuil di tapak persendiriaan bukan tanah kerajaan. Kalau tanah kerajaanpun ia perlu diwartakan dahulu sebagai kuil untuk kekal sedemikian,” katanya.

Sebelum ini, wakil pengurusan kuil Dewi Sri Pathra Kaliamman, Masjid India, Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, badan pengurusan itu masih berharap untuk terus kekal di atas tapak tersebut, walaupun tanah tersebut sudah menjadi hak milik syarikat swasta.

Ambiga berkata, DBKL mempunyai tanggungjawab sosial untuk membantu kuil tersebut kekal kerana telah wujud di atas tapak tersebut lebih daripada 130 tahun, selain urusan penjualan tanah yang berlaku pada 2014 tidak dimaklumkan kepada mereka.

Terdahulu, terdapat laporan media yang mana pemilik tanah tersebut iaitu Jakel Group bercadang membina sebuah masjid baru, dikenali sebagai ‘Masjid Madani, sambil mendakwa majlis pecah tanah akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pada penghujung bulan ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Yg buat sensasi ni Ambiga dan geng2 dia…benda simple jaa..tanah tu ada owner yg sah….jgn ceroboh..bukan kuil jaa..masjid kaa..gereja kaa..tak boleh ceroboh tanah orang…tak kan ko kata kau peguam tp tak faham undang2..

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here